Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melambai tangan kepada pengamal media ketika keluar daripada Istana Negara selepas Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu pada 25 Oktober 2020. Foto: BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Anwar: Kerajaan harus patuh titah Agong, elak salah guna kuasa

SHAH ALAM, 27 OKT: Kerajaan harus patuh pada titah Raja-Raja Melayu agar menjaga batas semak dan imbang dalam Perlembagaan Persekutuan bagi mengelak salah guna kuasa, kata ketua pembangkang.

“Alhamdulillah, kita berjaya menyelamatkan negara ini daripada diisytiharkan darurat dan sekali lagi saya menzahirkan kesyukuran ke atas keprihatinan Raja-Raja Melayu mempertahankan keluhuran Perlembagaan daripada penyalahgunaan kuasa pemerintah.

“Peringatan dan penegasan Raja-Raja Melayu terkait penyalahgunaan kuasa dan prinsip keadilan tidak harus dipandang enteng, malah harus didukung oleh semua pihak yang punya kesedaran dan kejituan dalam menolak kebobrokan,” kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam kenyataan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja bagi menjelaskan asas menolak cadangan mengisytiharkan darurat, perkataan “membatasi” ditanda dengan huruf merah.

“Raja-raja berpendirian pentingnya dihormati mekanisme semak dan imbang antara pelbagai cabang kerajaan dan peranan Seri Paduka Baginda untuk mengimbangkan pelbagai tuntutan demi menjamin berlakunya keadilan dan membatasi sebarang unsur penyalahgunaan kuasa,” kenyataan itu dipetik.

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bertitah usul yang dibawa Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin “tidak perlu buat masa ini” kerana wabak Covid-19 berjaya dibendung.

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah kepada semua pemimpin politik agar memberhentikan segera segala percakaran politik yang mengganggu kestabilan negara.


Pengarang :