Dato’ Seri Anwar Ibrahim ketika sidang media khas berkenaan satu pengumuman penting selepas sesi mengadap DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Hotel Le Meridien Kuala Lumpur pada 13 Oktober 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Anwar seru kerajaan gubal Belanjawan 2021 bersama pembangkang

SHAH ALAM, 27 OKT: KEADILAN menyeru kerjasama kedua belah pihak antara kerajaan dan pembangkang bagi merangka Belanjawan 2021.

Presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia bagi merencana strategi yang ampuh dalam menangani dampak pandemik Covid- 19, pengangguran dan juga masalah kemiskinan.

Ketua pembangkang menyatakan perkara demikian dalam kenyataan medianya hari ini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Seremban dan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata semua parti politik mesti bersedia duduk bersama di meja rundingan dan mencapai satu ‘Konsensus Nasional’ demi kelangsungan dan kesejahteraan rakyat serta negara.

“Semua parti mempunyai wakil dalam Parlimen juga perlu bersama-sama mencari formula terbaik bagi mencapai beberapa objektif dan persefahaman, antaranya bersetuju supaya Pilihan Raya Umum Ke-15 tidak diadakan sehingga 2023, selain mencapai kesepakatan untuk merangka dan meluluskan Belanjawan 2021 serta rang undang-undang yang lain,” katanya lapor BH Online.

Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub berkata pembangkang bersedia dipanggil dan bertemu Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat Jumaat depan.

“Kami bersikap objektif, jika ia demi rakyat dan negara, kami akan sokong. Untuk Belanjawan 2021 yang akan datang, memandangkan Yang di-Pertuan Agong mahu kerajaan ini berjalan dan belanjawan ini diluluskan, jadi panggil kami.

“Kami ada pasukan yang mampu menyalurkan buah fikiran dan idea terbaik. Kami bersedia pada bila-bila masa, panggil segera,” katanya dalam temu bual bersama Astro Awani semalam.

Ahad lalu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menolak cadangan kerajaan untuk mengisytiharkan darurat di Malaysia pada masa ini.

Al-Sultan Abdullah turut menegaskan bahawa Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan di parlimen adalah amat penting bagi rakyat dalam menangani wabak Covid-19.

 

 


Pengarang :