Pengarah Urusan Selangor Delivery Unit (SSDU) Dr Fahmi Ngah. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Aplikasi CEPat rekod nilai transaksi RM420,000

BANGI, 2 OKT: Aplikasi tanpa tunai ‘Citizen E-Payment Platform’ atau CEPat merekodkan nilai transaksi berjumlah RM420,000 dalam tempoh setahun penggunaannya.

Kaedah dibangunkan Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) itu digunakan oleh Majlis Daerah Hulu Selangor, Majlis Daerah Kuala Selangor dan Majlis Perbandaran Kajang.

Pengarah Urusan SSDU Dr Mohamad Fahmi Ngah menyifatkan pencapaian tersebut bukti masyarakat semakin menerima penggunaan aplikasi moden.

“SSDU sedang menambah baik perkhidmatan yang boleh digunakan CEPat sebelum diperluaskan kepada semua pihak berkuasa tempatan di Selangor pada Disember tahun ini.

“Langkah tersebut seiring sasaran memastikan perkhidmatan berbayar Kerajaan Negeri dibuat dalam platform ini menjelang 2022,” katanya selepas menghadiri Majlis Penyampaian Hadiah Kempen MyDebit Bersama Smart Selangor di sini hari ini.

Aplikasi CEPat yang dilancarkan pada 1 Ogos 2019 menggunakan teknologi awanan berasaskan ‘cloud’ untuk semua perkhidmatan berbayar kerajaan di pelbagai peringkat meliputi khidmat permohonan lesen, kompaun dan cukai taksiran.

CEPat boleh dimuat turun menerusi Playstore bagi pengguna Android dan AppStore bagi IOS.

 


Pengarang :