Pegawai dan petugas Angkatan Tentera Malaysia bersama aset Hospital Medan sebelum berlepas ke Tawau dari Subang pada 17 Oktober 2020. Foto Facebook Noor Hisham Abdullah
AGENDANASIONAL

Aset Hospital Medan ATM dibawa ke Tawau

SHAH ALAM, 17 OKT: Pasukan dan aset Hospital Medan dibawa dari Subang ke Tawau menggunakan pesawat pengangkut A400M Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pagi ini.

Ketua pengarah kesihatan berkata hospital tersebut bakal beroperasi di Kompleks Sukan Tawau bagi merawat kes bukan Covid-19 antaranya untuk perkhidmatan perubatan am, pembedahan, obstetrik dan ginekologi serta ortopedik dan pediatrik.

“Hospital Medan terletak antara 10 hingga 12 minit dari Hospital Tawau dan kemudahan ini membolehkan Hospital Tawau memberi tumpuan untuk merawat pesakit Covid-19. Semoga dipermudahkan perjalanan,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi Facebook hari ini.

Semalam Komander Hospital Medan berkata institusi kesihatan di Tawau yang diaktifkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dijadual beroperasi pada 20 Oktober.

Kolonel Dr Shamsul Bahary Muhamad berkata ia mempunyai kapasiti 100 katil setakat ini tetapi boleh dipertingkatkan pada bila-bila masa termasuk dewan bedah dan unit rawatan separa rapi (HDU).

Seramai 36 petugas kesihatan ATM terdiri daripada empat pegawai serta 32 anggota lain-lain pangkat bakal ditempatkan di hospital tersebut.


Pengarang :