Atlet sukan olahraga lari jarak jauh menjalani latihan di Stadium Kota Raja, Klang pada 4 Julai 2020. Foto HAFIZ OTHMAN /SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Atlet diingatkan patuh arahan PKPB, elak tempat sesak

SHAH ALAM, 14 OKT: Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor mengingatkan semua atlet menangguhkan sementara sesi latihan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pengarah eksekutifnya berkata latihan bersendirian masih boleh dilakukan di rumah ketika ini mengikut arahan yang ditetapkan jurulatih masing-masing.

“Kita minta semua atlet untuk patuh dengan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang tidak membenarkan sebarang aktiviti sukan terutama membabitkan sentuhan sepanjang PKPB.

“Langkah ini juga untuk kebaikan kita bersama bagi membendung penularan Covid-19,” kata Mohamad Nizam Marjugi ketika dihubungi.

Beliau menjelaskan atlet juga tidak digalakkan untuk berada di tempat yang sesak kecuali atas urusan penting sahaja dalam tempoh PKPB ini kerana bimbang dijangkiti Covid-19.

Mohamad Nizam berkata walaupun PKPB akan menjejaskan persiapan atlet untuk beberapa kejohanan sukan terutamanya Sukan Malaysia (Sukma) namun peningkatan kes kebelakangan ini perlu diberi perhatian.

Kementerian Belia dan Sukan dalam kenyataan semalam mengarahkan semua fasiliti sukan dan rekreasi ditutup sementara sepanjang tempoh PKPB yang bermula hari ini.

Bagaimanapun tatacara operasi piawai (SOP) MKN membenarkan aktiviti sukan tidak bersentuhan dan dijalankan secara individu tidak melebihi 10 orang serta di kawasan terbuka.

 


Pengarang :