Anggota polis dan tentera memeriksa surat kebenaran merentas daerah ketika melakukan sekatan jalan raya di Jalan Bukit Bintang bagi memastikan orang awam tidak melanggar Perintah Kawalan Pegerakan Bersyarat (PKPB) ketika tinjauan pada 14 Oktober 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

ATM gerak 1,780 anggota bantu pantau pematuhan PKPB

KUALA LUMPUR, 15 OKT: Seramai 1,780 anggota melibatkan Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia digerakkan melalui Op Penawar bagi membantu pihak berkuasa dalam penugasan sekatan jalan raya dan rondaan Mobile Patrol Vehicle (MPV).

Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jen Tan Sri Affendi Buang berkata, bagi penguatkuasaan terbaharu Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang berkuat kuasa semalam, ATM telah mengaturgerakkan seramai 621 anggota.

Beliau berkata, seramai 165 anggota pula telah diaturgerakkan bagi Op Penawar di kawasan PKPB dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) di Sabah.

“Ini melibatkan kawasan-kawasan terutamanya di Tawau, Semporna, Tambunan, Keningau dan Lahad Datu, manakala di Kedah seramai 73 anggota diaturgerak bagi penugasan sekatan jalan raya dan rondaan MPV, serta kawalan keselamatan di sekitar kawasan Penjara Pokok Sena.

“Kesemua penugasan di seluruh negara turut melibatkan rondaan pematuhan di lokasi tumpuan awam seperti di pasar umum, premis perniagaan dan pasar raya dan ia diaturgerakkan mengikut penugasan semasa dan akan ditambah mengikut keperluan dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan semalam.

Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata seramai 12 pegawai dan 60 anggota sokongan perubatan Perkhidmatan Kesihatan ATM melalui Kor Kesihatan Diraja (KKD), akan ditugaskan di Hospital Medan ATM di Tawau, Sabah untuk jangka masa sekurang-kurangnya tiga bulan bermula 17 Oktober ini.

Anggota polis dan tentera memeriksa pengguna motosikal yang melalui sekatan jalan raya susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika tinjauan di Jalan Kuching pada 14 Oktober 2020. Foto BERNAMA

“Mereka terdiri daripada enam pakar perubatan, empat orang pegawai perubatan, seorang pegawai farmasi, seorang pegawai tadbir hospital dan 62 anggota paramedik dan elemen sokongan, yang akan berkerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta diletakkan di bawah pengurusan Hospital Tawau,” katanya.

Beliau berkata pada peringkat awal Hospital Medan yang akan beroperasi di Kompleks Sukan Tawau ini, mempunyai kapasiti 100 katil termasuk empat katil Unit Rawatan Rapi (ICU) yang akan memberi rawatan khusus kes-kes selain Covid-19, bagi membolehkan Hospital Tawau memfokuskan perkhidmatan rawatan kes Covid-19.

Jelasnya, keupayaan hospital juga boleh dipertingkatkan pada bila-bila masa termasuk dewan bedah dan Unit Dependensi Tinggi (HDU), selain Perkhidmatan Kesihatan ATM juga terlibat secara langsung dalam pewujudan pusat rawatan sementara Covid-19, di Penjara Pokok Sena di Kedah.

“Ini adalah bagi merawat banduan-banduan yang didapati positif Covid-19. Ia juga bertujuan mengurangkan risiko penularan wabak ini kepada komuniti, sekiranya banyak pergerakan keluar masuk pesakit Covid-19 dalam kalangan banduan berkenaan,” katanya.

Affendi berkata ATM turut melaksanakan penerbangan menggunakan pesawat angkut jenis C130H dari No. 20 Skuadron, yang membawa peralatan perubatan, kelengkapan perlindungan diri (PPE) dan sampel ujian Covid-19 dari Sabah termasuk Labuan, bagi menampung keperluan pusat kesihatan di negeri itu dengan kerjasama KKM, pada Isnin lepas.

“Penerbangan itu juga membawa pulang sampel ujian Covid-19 dari Labuan, Kota Kinabalu dan Tawau, untuk dihantar ke makmal-makmal di Semenanjung Malaysia bagi tujuan ujian sampel,” katanya.

Beliau berkata, ATM sentiasa komited dengan amanah yang telah dipertanggungjawabkan demi kesejahteraan negara dan rakyat.

“Masyarakat dinasihatkan agar dapat memberikan kerjasama sepenuhnya kepada ATM dan Polis Diraja Malaysia, termasuk agensi penguatkuasaan keselamatan lain dalam penguatkuasaan PKPB dan PKPDB ini, agar tidak menimbulkan sebarang permasalahan yang boleh merumitkan keadaan,” katanya.

-BERNAMA

 


Pengarang :