Pegawai kebajikan Yide Muhammad Zubair Azizan (kanan) menyerahkan sumbangan kepada balu mangsa kemalangan Normadiah Sulaiman (kiri) di Taman Bukit Raya, Bukit Beruntung, Rawang pada 21 Oktober lalu. Foto Yide
AGENSISELANGOR

Balu mangsa kemalangan di Hulu Selangor terima bantuan Yide

SHAH ALAM, 26 OKT: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) menyerahkan sumbangan kepada balu Mohd Nazrie Abdul Talib yang maut dalam kemalangan di kilometer 405 Persiaran Hulu Selangor pada 11 September lalu.

Agensi itu dalam kenyataan memaklumkan Normadiah Sulaiman, 33, menerima bantuan wang tunai dan borang pendaftaran anak yatim.

“Gambar kemalangan berkenaan tular di media sosial beberapa hari lalu dan nasib mereka sekeluarga mendapat perhatian masyarakat.

“Kita turut prihatin dengan beliau (Normadiah) kerana tidak bekerja (suri rumah) termasuk tiga anaknya yang sudah kehilangan bapa,” katanya.

Sumbangan disampaikan pegawai kebajikan Yide Muhammad Zubair Azizan di Taman Bukit Raya, Bukit Beruntung, Rawang pada 21 Oktober lalu.

Sebelum ini tular di Facebook satu kejadian kemalangan melibatkan sebuah motosikal jenis Honda EX5 dan kereta jenis Honda Accord di Persiaran Bunga Raya menghala ke Taman Bunga Raya Bukit Beruntung.

Muat naik yang dikongsi sebanyak 3,192 kali mendakwa Mohd Nazrie dirempuh dari belakang oleh seorang pemandu wanita berusia 21 tahun mengakibatkan lelaki itu mengalami kecederaan parah pada kepala.

Mangsa yang koma selama lapan hari kemudian meninggal dunia pada 19 September.


Pengarang :