AGENDAEKONOMINASIONAL

Bank Islam selaraskan waktu operasi sepanjang PKPB

KUALA LUMPUR, 14 OKT: Bank Islam Malaysia Bhd (Bank Islam) menyelaraskan waktu operasi 46 cawangannya di negeri Sabah dan Lembah Klang susulan daripada pengumuman pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) oleh kerajaan.

Bank Islam dalam satu kenyataan dikeluarkan berkata 31 cawangannya di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang berada di kawasan zon hijau atau kuning akan beroperasi dengan waktu terhad dari jam10 pagi hingga 3 petang.

Sementara itu, 15 cawangan Bank Islam di kawasan zon merah di Sabah, Selangor dan Kuala Lumpur dibuka dengan perkhidmatan terhad, cawangan di Sabah akan beroperasi dari jam 9 pagi hingga 2 petang manakala waktu operasi di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya adalah dari jam 10 pagi hingga 3 petang.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata bank itu mengutamakan keselamatan para pelanggan dan kakitangannya dan terus komited untuk mematuhi langkah-langkah yang diambil bagi mengekang penularan pandemik tersebut termasuk mengehadkan waktu operasinya.

“Kami menggalakkan pelanggan untuk menggunakan platform perkhidmatan perbankan digital, termasuk aplikasi mudah alih ‘GO by Bank Islam’, platform perbankan internet Bank Islam di https://www.bankislam.biz atau terminal-terminal layan diri.

Selain itu, perkhidmatan ‘E-banker’ Bank Islam juga disediakan untuk memudahkan urus niaga perbankan perniagaan,” katanya.

Untuk maklumat lebih lanjut, pelanggan dinasihatkan boleh melayari laman web Bank Islam di www.bankislam.com atau menghubungi Bank Islam di 03-26900900.

-BERNAMA


Pengarang :