PKS Malaysia yang membuat pelaburan dalam bidang teknologi boleh menambah antara RM79 bilion dan RM99 bilion kepada KDNK menjelang 2024. Foto: BERNAMA
AGENDAEKONOMINASIONAL

Bank salurkan RM120 bilion kepada PKS separuh pertama 2020

KUALA LUMPUR,14 OKT: Sistem perbankan secara keseluruhannya menyalurkan sejumlah RM120 bilion dalam bentuk pinjaman dan pembiayaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) pada separuh pertama 2020.

Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, sebanyak 65,597 akaun diluluskan pada separuh pertama 2020, lebih tinggi berbanding 57,367 akaun bagi tempoh yang sama tahun lepas.

“Bagaimanapun, saiz pembiayaan purata merosot apabila lebih banyak PKS memohon jumlah pembiayaan yang lebih rendah khususnya dalam mengharungi pandemik ini,” menurut BNM dalam laporan Tinjauan Kestabilan Kewangan – Separuh Pertama 2020 yang dikeluarkan hari ini.

Ia berkata, langkah dasar termasuk skim jaminan kredit dan akses mudah kepada dana itu juga terus menyokong akses pembiayaan kepada PKS.

Katanya, setakat ini, institusi perbankan telah memudahkan permohonan bantuan pembayaran balik kepada hampir 480,000 individu dan 34,400 PKS dalam sektor yang terjejas akibat Covid-19.

Menurut bank pusat, ia telah meningkatkan kemudahan pembiayaan sedia ada di bawah Dana BNM kepada PKS dan menambah peruntukan kepada kemudahan-kemudahan ini untuk meringankan syarat-syarat pinjaman/pembiayaan kepada PKS berdaya maju semasa tempoh yang mencabar ini, sekali gus melengkapi skim pembiayaan yang ditawarkan kerajaan dan institusi kewangan.

Katanya, peruntukan Dana BNM kepada PKS ditingkatkan sebanyak RM9 bilion kepada RM18.1 bilion bagi menyokong pinjaman kepada PKS.

Daripada jumlah itu, BNM berkata RM10 bilion diperuntukkan di bawah dana Kemudahan Bantuan Khas (SRF) yang diperkenalkan khususnya untuk menyokong aliran tunai yang diperlukan PKS berdaya maju yang terjejas akibat pandemik itu.

Sebanyak 21,000 PKS menerima bantuan menerusi SRF yang membantu mengekalkan lebih 450,000 pekerjaan dalam sektor PKS di seluruh negara dan sektor perniagaan.

Menurut BNM, PKS juga boleh memanfaatkan kemudahan pembiayaan lain di bawah dana itu dengan RM2.6 bilion dana tersebut masih terbuka untuk permohonan baharu setakat akhir September 2020.

-BERNAMA


Pengarang :