Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam Dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Bas mini Smart Selangor dicadang untuk laluan desa, bantu B40

SHAH ALAM, 10 OKT: Penggunaan bas Smart Selangor berkapasiti lebih kecil atau mini merupakan antara tumpuan yang akan diberikan dalam Belanjawan Selangor 2021.

Ng Sze Han berkata cadangan penggantian itu dibuat untuk memenuhi keperluan golongan berpendapatan rendah (B40) menggunakan pengangkutan awam yang mudah merentasi laluan terutama di kawasan kampung.

“Ia hanya membabitkan laluan tidak mempunyai penumpang ramai atau laluan desa,” kata EXCO pengangkutan awam ketika dihubungi bagi mengulas tumpuan prabelanjawan Selangor 2021.

Bagi portoflio kerajaan tempatan Sze Han berkata tumpuan diberikan terhadap usaha untuk meningkatkan mutu kehidupan masyarakat yang terkesan akibat pandemik Covid-19 di samping memperkukuh hubungan kejiranan.

Beliau berkata wabak sedang melanda dunia itu memberikan kesan langsung kepada rakyat dan program pemulihan perlu dirangka bagi meningkatkan keyakinan rakyat terjejas terutama mereka yang hilang sumber pendapatan.

“Bagi pembangunan kampung baru saya berhasrat menjadikan kawasan itu dan bagan sebagai lokasi warisan sejarah serta budaya di Selangor.

“Di samping itu, kita merancang menjadikan ia tempat idaman didiami dengan menyediakan kemudahan fizikal dan pembangunan sosial ekonomi setempat,” katanya.

Belanjawan Selangor 2021 akan dibentangkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Dewan Negeri Selangor pada 30 Oktober.


Pengarang :