Penduduk sekitar USJ 4/5 Subang Jaya yang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual susulan pencemaran Sungai Semenyih mendapatkan bekalan bagi kegunaan harian ketika tinjauan pada 6 Oktober 2020. Foto BERNAMA
BERITA UTAMA

Bekalan air 59 kawasan terjejas pulih pagi esok

SHAH ALAM, 16 OKT: Bekalan air ke 59 kawasan terjejas di Klang, Shah Alam dan Kuala Langat dijangka pulih sepenuhnya jam 10 pagi esok.

Ketua komunikasi korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata kerja pembaikan giat dijalankan dan dijangka siap pada jam 10 malam ini.

“Pengguna akan menerima bekalan air secara berperingkat berdasarkan jarak premis dan tekanan air apabila ia disalurkan semula.

“Bantuan bekalan air melalui lori tangki sedang digerakkan ke kawasan terlibat bagi membantu pengguna terjejas,” kata Elina Baseri menerusi kenyataan.

Hari ini, pengguna di tiga wilayah terbabit mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual susulan paip pecah di Seksyen U11 di sini.

Agensi berkata insiden berpunca daripada tambakan tanah di atas paip oleh pihak ketiga menyebabkan tekanan berlebihan di kawasan pembinaan Worldwide di situ.

Perkembangan kerja pembaikan paip akan dimaklum dari semasa ke semasa melalui saluran komunikasi Air Selangor di Facebook, Twitter, Instagram, aplikasi telefon pintar dan laman sesawang www.airselangor.com.


Pengarang :