Petugas kesihatan melakukan persiapan bagi proses saringan Covid-19 kepada orang ramai ketika tinjauan di Klinik Kesihatan Membedai Labuan pada 6 Oktober 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Bekas pesakit Covid-19 risiko dijangkiti semula jika antibodi merosot

KUALA LUMPUR, 14 OKT: Kajian bagi mengetahui paras antibodi neutralisasi (imuniti) dalam kalangan pesakit Covid-19 diperlukan bagi melihat sama ada mereka boleh dijangkiti semula, selain kesan sampingan dan jangka panjang pada organ mereka.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata menerusi kajian itu, sekiranya terdapat kemerosotan paras antibodi selepas tiga bulan pemantauan, pesakit berkemungkinan dijangkiti semula wabak itu.

“Kalau antibodi merosot selepas tiga bulan, mungkin pesakit itu boleh dijangkiti semula ataupun kalau kita lihat ada lagi kajian-kajian lain mengenai kesan jangka panjang pada organ-organ tertentu serta kesan sampingan atau selepas pulih ada atau tidak ada kesan jangka panjang pada pesakit itu,” katanya pada sidang media maya yang disiarkan di laman Facebook Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini.

Semalam melalui laman Facebooknya, Dr Noor Hisham menjemput bekas pesakit Covid-19 menyertai penyelidikan perubatan itu yang dijalankan oleh sekumpulan penyelidik di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).

Beliau berkata kajian itu penting bagi mengetahui paras antibodi neutralisasi (imuniti) dalam darah yang boleh menghalang kuman Covid-19 daripada menjangkiti pesakit yang pernah dijangkiti sebelum ini.

Justeru, Dr Noor Hisham menyeru pesakit tampil menyertai penyelidikan perubatan itu bertajuk: “Kajian Membujur Tindak Balas Antibodi Neutralisasi Dalam Kalangan Pesakit Covid-19 di Malaysia”.

-BERNAMA

 


Pengarang :