AGENDAEKONOMINASIONAL

Belanjawan 2021: Fokus PKS industri halal tembusi pasaran eksport – HDC

KUALA LUMPUR, 21 OKT: Pembentangan Belanjawan 2021 perlu memberi penekanan terhadap usaha melahirkan lebih banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terlibat dalam industri halal untuk mendapat pensijilan halal sekaligus menembusi pasaran eksport.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) Hairol Ariffein Sahari berkata kerajaan melalui agensi berkaitan perlu membantu PKS yang menawarkan produk serta perkhidmatan halal untuk mendapat pensijilan halal dengan mudah.

“Setakat tahun ini kira-kira 7,000 daripada 200,000 PKS sahaja yang mempunyai sijil halal. Kerajaan perlu bekerjasama dengan agensi seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Jabatan Standard Malaysia dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk mencari penyelesaian berkaitan proses pensijilan halal dan bagaimana menjadikannya lebih mesra industri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama apabila diminta mengulas mengenai isu yang perlu diketengahkan pada Belanjawan 2021 yang dijadual dibentangkan pada 6 November, 2020.

Hairol berkata pasaran produk dan perkhidmatan halal di peringkat global adalah berjumlah US$3.1 trilion (US$1 = RM4.15) dengan Malaysia mencatat nilai eksport berjumlah US$10 bilion pada 2019.

“Jika lebih banyak lagi PKS yang mempunyai sijil halal, sudah pasti ia mampu meningkatkan lagi pasaran eksport sekaligus menjadikan mereka pemain industri yang berjaya,” katanya.

Pada tahun lepas, sebanyak RM10 juta diperuntukkan dalam Belanjawan 2020 yang diberikan kepada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) bagi khidmat nasihat dan kesedaran untuk pensijilan halal, pembangunan produk halal dan menyediakan platform kepada peserta pasaran untuk bersaing di pasaran halal antarabangsa.

Dalam pada itu, Hairol turut menekankan tentang keperluan meningkatkan keperluan modal insan dan tenaga pakar dalam industri halal dalam Belanjawan 2021.

“Hanya sekitar 20,000 individu sahaja yang terlatih dalam pengurusan industri halal dalam program berkaitan industri halal seperti bioteknologi, teknologi makanan, biomedikal. Kepakaran mereka diperlukan dalam memberi perkhidmatan untuk meningkatkan integriti halal pada rantaian bekalan yang membantu pertumbuhan ekosistem halal secara keseluruhan,” katanya.

Hairol berkata ia juga dapat memberi peluang pekerjaan yang baik kepada mereka selain berpeluang berkhidmat dengan syarikat halal yang berada di luar negara.

-BERNAMA

 


Pengarang :