AGENDANASIONAL

Belanjawan 2021: MSN Selangor harap dana bangunkan atlet pelapis

SHAH ALAM, 20 OKT: Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor berharap peruntukan bagi pembangunan atlet pelapis diberi perhatian dalam Belanjawan 2021.

Pengarah eksekutifnya berkata program pembangunan bakat penting bagi meneruskan kesinambungan atlet untuk menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) akan datang.

“MSN berharap belanjawan kali ini menyediakan dana bagi program persediaan bakat dan pelapis juga untuk berdepan kejohanan SUKMA pada 2022 dan 2024,” kata Mohamad Nizam Marjungi ketika dihubungi.

Bagi kemudahan sukan, katanya, ia hanya boleh dipertimbang selepas pandemik Covid-19 dapat dikawal sepenuhnya kerana melibatkan kos operasi dan penyelenggaraan yang tinggi.

Mohamad Nizam berkata kemudahan sukan sedia ada yang dimiliki pihak berkuasa tempatan memadai untuk atlet meneruskan latihan sepanjang tempoh perintah kawalan.

“Kos operasi dan penyelenggaraan yang tinggi akan membebankan MSN. Kita tidak mahu mengambil risiko dalam keadaan tidak menentu sekarang. Lebih baik tumpu pembangunan atlet,” kata beliau lagi.

Belanjawan Selangor 2021 akan dibentangkan oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Dewan Negeri pada 30 Oktober.

Selangor menyasar kutipan 45 pingat emas, 40 perak dan 40 gangsa dalam SUKMA Johor yang akan berlangsung pada 2 hingga 10 April.


Pengarang :