BERITA UTAMASELANGOR

Belanjawan 2021: Pertimbang biasiswa, pinjaman untuk pasca siswazah Kuis

SHAH ALAM, 21 OKT: Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) meminta Kerajaan Negeri pertimbang pemberian pinjaman dan biasiswa kepada pelajar peringkat pasca siswazah di institusi itu.

Rektornya, Prof Dato’ Ab Halim Tamuri berkata setakat ini pinjaman dan biasiswa hanya ditawar kepada mahasiswa di peringkat sijil, diploma dan ijazah sarjana muda pertama.

“Di Kuis kita memang ada program pasca siswazah, jadi kita berharap pinjaman atau biasiswa dapat dikembangkan untuk anak kelahiran Selangor yang mahu mengambil program ini.

“Kita minta supaya ada peruntukan (pinjaman dan biasiswa) sepanjang tempoh pengajian pasca siswazah mereka di Kuis,” katanya ketika diminta mengulas harapannya berhubung Belanjawan Selangor 2021.

Beliau menambah kemudahan pembelajaran dalam talian di universiti itu juga perlu dinaik taraf berikutan capaian internet sedia ada tidak mampu menampung kapasiti pelajar termasuk pensyarah.

Langkah itu, katanya, memerlukan kos yang agak tinggi dan wajar diberi perhatian bagi memastikan warga institusi bergerak seiring dengan perubahan serta perkembangan teknologi maklumat.

“Saya percaya bantuan seperti ini amat membantu kerana di Kuis kita mengamalkan konsep pembelajaran secara teradun (blended learning) iaitu gabungan (pembelajaran) dalam talian dan konvensional sekali gus mendorong pelajar serta pensyarah melakukan tugas dengan lebih berkesan.

“Malah, ini akan memudahkan pihak universiti untuk memperkenal lebih banyak program berkonsepkan maya misalnya pemasaran dan perniagaan,” katanya.

Belanjawan Selangor 2021 akan dibentangkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Dewan Negeri Selangor pada 30 Oktober.


Pengarang :