Semua 12 PBT menyediakan perkhidmatan melalui laman sesawang dan aplikasi digital sepanjang tempoh PKP mulai 1 Jun. Foto ARKIB SELANGORKINI
BERITA UTAMA

Belanjawan 2021: Tumpu masalah capaian internet terhad di luar bandar

SHAH ALAM, 20 OKT: Masalah capaian internet terhad di luar bandar perlu diberi tumpuan dalam Belanjawan Selangor 2021 memandangkan majoriti mahasiswa kini mengikuti pembelajaran dalam talian.

Presiden Persatuan Pelajar Islam Selangor (Pepias), Mohamad Khairuddin Zahari berkata liputan internet yang bermasalah menyebabkan mahasiswa terpaksa membatalkan kelas secara maya.

“Keadaan ini sudah tentu merencatkan pembelajaran mereka serta dikhuatiri mengganggu aspirasi Kerajaan Selangor untuk memartabatkan pendidikan negeri.

“Justeru, Pepias mencadangkan supaya Kerajaan Negeri mewujudkan pusat komuniti atau belia di kawasan luar bandar bagi memudahkan pelajar mendapat capaian internet,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, beliau turut mencadangkang supaya guru di bawah seliaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) diberi tambahan taraf pendidikan.

“Pepias mencadangkan supaya guru ini diberi latihan sebaik mungkin termasuk memiliki diploma pendidikan dalam meningkatkan kualiti pengajaran.

“Ini sedikit sebanyak membantu dalam melahirkan lebih ramai pelajar di Selangor yang kompeten dan dinamik,” katanya.

Belanjawan 2021 akan dibentangkan di Dewan Negeri Selangor selama dua jam bermula jam 3 petang pada 30 Oktober ini.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari sebelum ini turut mengumpulkan semua cadangan rakyat sempena belanjawan menerusi portal https://www.amirudinshari.com/selangor2021.


Pengarang :