Kenderaan meredah air banjir dalam keadaan trafik sesak sekitar Kuala Lumpur disebabkan banjir kilat yang berlaku akibat hujan lebat yang berterusan sejak awal petang pada 10 Sept 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Bomba buat persiapan hadapi banjir dalam norma baharu

PUTRAJAYA, 1 OKT: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah melakukan persiapan rapi bagi menghadapi musim tengkujuh dalam norma baharu, kata Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Ismail Abd Mutalib.

Beliau berkata persiapan, khususnya dalam aspek sanitasi di Pusat Pemindahan Sementara untuk mangsa banjir, perlu dilakukan bagi mengelak berlakunya penularan Covid-19.

“Mesyuarat dengan Majlis Keselamatan Negara juga dilakukan bagi memastikan semua agensi penyelamat bersedia serta mampu memberikan khidmat kepada masyarakat,” katanya ketika mengulas mengenai persiapan menghadapi banjir semasa Monsun Timur Laut yang dijangka berlaku pada awal November tahun ini hingga Mac tahun depan.

Ditemui media selepas sambutan Hari Inovasi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan 2020, Ismail berkata kementeriannya menerusi JBPM telah melakukan sebanyak 10,172 proses sanitasi awam di seluruh negara.

Pada majlis itu, kumpulan Pelita daripada JBPM Terengganu menggondol Anugerah Inovasi Menteri menerusi projek yang dinamakan Multifunction Resque Tools (M.R.T) iaitu bagasi yang mempunyai pelbagai jenis peralatan menyelamat.

– BERNAMA


Pengarang :