AGENDANASIONAL

Bursa Malaysia dibuka tinggi, dipacu prestasi menggalakkan

KUALA LUMPUR, 5 OKT: Dagangan di Bursa Malaysia bermula baik minggu ini apabila dibuka tinggi pada pagi ini bangkit daripada penurunan pada minggu lepas, dipacu oleh prestasi menggalakkan dalam hampir kesemua indeks.

Pada 9.05 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 0.78 mata kepada 1,501.08 daripada paras penutup 1,500.30 pada Jumaat minggu lepas.

Di keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 244 berbanding 153, manakala 253 kaunter tidak berubah, 1,446 tidak diniagakan dan 20 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 279.75 juta unit bernilai RM196.80 juta.

Seorang penganalisis berkata meskipun kebimbangan akan lonjakan kes baharu Covid-19, indeks petunjuk pasaran itu yang mencecah kedudukan terlebih jualan dijangka melantun semula, mendapat rangsangan daripada permintaan terhadap kategori saham tertentu.

“Saham perbankan dijangka mencatatkan prestasi tinggi apabila pinjaman tidak berbayar dijangka dapat diuruskan dengan baik dengan bantuan moratorium berasasar manakala saham perladangan juga diunjur berada dalam aliran meningkat berikutan kedatangan musim hujan dan kaunter penjagaan akan meneruskan momentum meningkatnya apabila kes Covid-19 terus bertambah,” katanya.

Beliau berkata dari perspektif teknikal, tanpa mengira keadaan tidak dijangka, indeks KLCI dijangka diniagakan antara paras 1,500 dan 1,515 dengan paras sokongan diunjur pada 1,490.

Mengenai prestasi indeks lain, beliau berkata, kaunter teknologi akan terus menjadi pilihan baharu pelabur sejajar dengan usaha pendigitalan di seluruh dunia, manakala produk perindustrian dijangka lemah sedikit apabila kuasa beli mungkin menurun disebabkan peningkatan bilangan kes Covid-19.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik tiga sen kepada RM7.14, CIMB meningkat satu sen kepada RM3.07, Axiata dan IHH menokok dua sen setiap satu masing-masing kepada RM2.90 dan RM5.02 dan Kuala Lumpur Kepong menambah 16 sen kepada RM22.86.

Menerajui senarai kaunter untung ialah Kossan Rubber dan warannya yang meningkat 18 sen dan 10 sen masing-masing kepada RM14.80 dan RM1.85, Prolexus dan QL kedua-duanya naik 15 sen masing-masing kepada RM1.37 dan RM9.99 manakala Time menambah 10 sen kepada RM12.18.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 9.78 mata kepada 10,831.48, Indeks FBM Emas Shariah naik 11.44 mata kepada 12,933.07 dan FBM 70 menokok 38.92 mata kepada 14,237.90.

Indeks FBMT 100 meningkat 11.58 mata kepada 10,661.78 dan FBM ACE menokok 73.99 mata kepada 10,077.87.

– BERNAMA


Pengarang :