AGENDAEKONOMINASIONAL

Bursa Malaysia dibuka tinggi, jejaki prestasi baik serantau

KUALA LUMPUR, 21 OKT: Urus niaga di Bursa Malaysia dan kebanyakan bursa serantau yang lain meningkat untuk dibuka tinggi pagi ini, mengambil petunjuk daripada prestasi menggalakkan di pasaran semalaman bursa AS menjelang berakhirnya minggu bagi keputusan rangsangan fiskal.

Pada jam 9.02 pagi, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 2.17 mata kepada 1,513.14 daripada 1,510.97 ketika ditutup pada Selasa.

Indeks utama dibuka 1.07 mata lebih tinggi pada 1,512.04.

Pergerakan harga pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi rugi 271 berbalas 76 manakala 278 kaunter tidak berubah, 1,542 tidak diniagakan dan 22 yang lain digantung.

Jumlah dagangan ialah 276.39 juta unit bernilai RM97.53 juta.

Firma pembrokeran Malacca Securities Sdn Bhd pula mengatakan FBM KLCI dijangka menyaksikan urus niaga tidak menentu hari ini sebelum menyerah kepada kegiatan pengambilan untung di celah-celah ketidakpastian para pelabur terhadap situasi politik tempatan serta aktiviti jualan oleh dana asing.

“Sementara itu, langkah ketat yang dilaksanakan berikutan jumlah kes baharu COVID-19 yang kian meningkat mungkin boleh menggagalkan prospek pemulihan ekonomi pada 2021,” katanya.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank naik empat sen kepada RM7.22, Public Bank meningkat 10 sen kepada RM15.90, Top Glove tidak berubah pada RM9.48 dan Hartalega turun 14 sen kepada RM18.90.

Kaunter paling cergas didahului oleh Pegasus Heights dan DGB Asia yang masing-masing kekal pada 2.5 sen dan tiga sen sementara Luster menambah satu sen kepada 23.5 sen dan Impiana dua sen lebih baik pada 10 sen.

Saham paling untung termasuk Vitrox yang meningkat 28 sen kepada RM14.08, sementara Scientex menambah 24 sen kepada RM12.74 dan Greatech 11 sen lebih tinggi kepada RM8.19.

Saham paling rugi pula ialah Hartalega dan Sime Darby Plantation, masing-masing susut 14 sen kepada RM18.90 dan RM4.84 sementara Pintaras Jaya turun sembilan sen kepada RM2.40.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 20.47 mata kepada 11,006.11, Indeks FBMT 100 meningkat 16.68 mata kepada 10,793.16 dan Indeks FBM Emas Shariah menambah 11.96 mata kepada 13,228.47.

FBM 70 meningkat 27.13 mata kepada 14,591.31 dan FBM ACE melonjak 37.56 mata kepada 11,030.29.

Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 54.55 mata kepada 12,466.68, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.29 mata kepada 146.87, sementara Indeks Perladangan turun 47.28 mata kepada 6,847.38.

-BERNAMA


Pengarang :