AGENDAEKONOMINASIONAL

Bursa Malaysia dijangka niaga 1,495-1,505 mata, bimbang Covid-19 naik

KUALA LUMPUR, 3 OKT: Bursa Malaysia dijangka diniagakan dalam jajaran ketat antara paras 1,495 dan 1,505 minggu depan di tengah-tengah peningkatan kebimbangan pelabur terhadap lonjakan semula kes Covid-19 yang boleh mempengaruhi bursa tempatan dan memperlahankan pemulihan ekonomi global.

Pasaran ekuiti juga melihat ketidakpastian berhubung pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS) susulan berita presidennya Donald Trump dijangkiti oleh virus tersebut.

“Minggu akan datang akan menyaksikan dagangan berhati-hati susulan berita presiden Trump dan isterinya Melania disahkan positif Covid-19, yang akan memburukkan lagi ketidakpastian berkaitan pilihan raya presiden AS bulan depan,” kata Ketua Pakar Strategi Pasaran Global AxiCorp Stephen Innes kepada Bernama.

Bagaimanapun, dari sudut positifnya, peningkatan bilangan kes baharu Covid-19 akan membantu meningkatkan kaunter penjagaan kesihatan seperti Top Glove, Hartalega, Kossan Rubber dan Supermax, yang merupakan antara kaunter untung utama minggu sebelumnya.

FBM KLCI ditutup pada Jumaat naik 0.24 peratus kepada 1500.3 mata, mendapat rangsangan daripada kaunter sarung tangan iaitu Hartalega dan Top Glove yang masing-masing naik 7.6 peratus dan 3.9 peratus, berikutan peningkatan kes Covid-19 di seluruh dunia ketika ini.

Pada Jumaat, Malaysia merekodkan 287 kes baharu, angka harian tertinggi sejak pandemik tersebut melanda negara awal tahun ini.

Indeks Penjagaan Kesihatan Bursa meningkat 2.2 peratus, yang paling tinggi dalam kalangan sektor lain.

“Kami berpendapat sarung tangan akan tetap memainkan peranan utama dalam tempoh sederhana ini,” kata Ahli Ekonomi Bank Islam Adam Mohamed Rahim.

Bagi minggu yang baru berakhir ini, Bursa Malaysia mencatatkan dagangan kecil, digerakkan oleh kaunter kewangan dan perbankan susulan berakhirnya moratorium pembayaran semula pinjaman yang akan menjadikan nisbah pinjaman terjejas kasar berada pada paras boleh diuruskan ketika industri perbankan memulakan pendekatan moratorium bersasar.

Prestasi bursa tempatan dan bursa serantau juga selari dengan prestasi di Wall Street yang bermula tinggi pada minggu ini berikutan jangkaan pakej rangsangan akan dipersetujui.

Pasaran Asia juga mendapat rangsangan susulan pengumuman data ekonomi yang kukuh dari China pada September, menunjukkan pemulihan dalam ekonomi kedua terbesar dunia itu.

Bagaimanapun, pasaran kembali suram minggu ini susulan berita Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) AS memutuskan untuk mengenakan Perintah Pelepasan Tahan (WRO) ke atas minyak sawit dan produk minyak sawit syarikat perladangan FGV Holdings Bhd, yang turut memberi risiko kepada saham perladangan lain.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI turun 8.84 mata untuk ditutup kepada 1,500.30 daripada 1,509.14 sebelumnya.

Di papan skor, Indeks FBM Emas susut 19.11 mata kepada 10,821.70, Indeks FBMT 100 turun 18.31 mata kepada 10,650.20 dan Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 40.79 mata kepada 12.921.63.

FBM 70 jatuh 148.69 mata kepada 14,198.98 manakala Indeks FBM ACE susut 23.34 mata kepada 10,003.88.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 51.91 mata kepada 12,379.53, Indeks Perladangan turun 148.31 mata kepada 6,906.81 dan Indeks Teknologi naik 1.79 mata kepada 55.78.

Indeks Penjagaan Kesihatan menambah 111.98 mata kepada 3,884.71 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 1.69 mata kepada 136.48.

Jumlah dagangan mingguan turun kepada 26.38 bilion unit bernilai RM16.44 bilion daripada 33.09 bilion unit bernilai RM20.31 bilion yang dicatatkan minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 13.32 bilion saham bernilai RM12.44 bilion daripada 17.50 bilion saham bernilai RM15.64 bilion.

Jumlah dagangan waran turun kepada 2.54 bilion unit bernilai RM681.06 juta berbanding 3.24 bilion unit bernilai RM859.92 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE berkurangan kepada 10.50 bilion saham bernilai RM3.31 bilion berbanding 13.46 bilion saham bernilai RM4.81 bilion.

-BERNAMA


Pengarang :