Keadaan semasa Sungai Gong selepas mengalami insiden pencemaran bau di kawasan perindustrian Sungai Gong, Rawang yang mengakibatkan hampir 1.2 juta akaun pengguna sekitar Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air ketika tinjauan pada 5 September 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Cadangan denda RM10 juta bagi pesalah cemar bekalan air

PORT DICKSON, 13 OKT: Kerajaan bercadang untuk menaikkan denda maksimum kepada RM10 juta daripada RM500,000 pada masa ini, bagi kes pencemaran air menerusi pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang dijangka dibentangkan di Parlimen tahun ini.

Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata pindaan akta itu dijangka akan dibentangkan dalam sidang Parlimen pada November depan.

“Selain itu, pindaan itu juga akan meningkatkan hukuman penjara dan semua ini akan kami bentangkan dalam sidang Parlimen akan datang berkemungkinan pada sesi pembentangan Belanjawan 2021 nanti,” katanya ketika ditemui selepas meninjau lokasi pencemaran tumpahan minyak di Pantai Cermin, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Norlin Jaafar, Pengarah JAS Negeri Sembilan Azuri Azizah Saedon dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Dr Razali Ab Malek.

Menjawab pertanyaan sama ada akta sedia ada tidak mencukupi dalam membendung insiden pencemaran di negara ini, Tuan Ibrahim berkata akta sedia ada mencukupi bagi menangani isu berkenaaan namun yang paling utama adalah sikap sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Sebab itu kami menganggap mereka ini penjenayah kepada alam sekitar dan kita tak boleh berkompromi dengan sikap melampau seperti ini,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai insiden berkenaan yang melibatkan pencemaran sepanjang dua kilometer di pesisir Pantai Cermin, beliau berkata ia merupakan kes kali kedua direkodkan selepas yang pertama pada 2009.

“Bagi kes ini, Jawatankuasa Tindakan Pembersihan Pantai Peringkat Daerah Port Dickson dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Alor Gajah, Melaka diaktifkan untuk kerja-kerja pembersihan dan pelupusan sisa minyak akibat pencemaran oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Selain itu, sampel di lokasi telah diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia bagi dianalisis dan penentuan ciri serta komposisi bahan buangan. JAS dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia juga melakukan rondaan laut dan pemantauan dron bagi mengesan punca tumpahan minyak ini,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 27 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

– BERNAMA


Pengarang :