Petugas kesihatan menanggalkan gelang kuarantin seorang individu yang selesai menjalani tempoh kuarantin wajib 14 hari dan bebas jangkitan Covid-19 ketika tinjauan di Klinik Kesihatan Membedai Labuan pada 6 Oktober 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Covid-19: 1,000 kes sembuh, tertinggi sejak pandemik landa negara

SHAH ALAM, 31 OKT: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan sebanyak 1,000 kes pulih Covid-19 hari ini, tertinggi sejak pandemik mula melanda negara.

Ketua pengarahnya Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata ia menjadikan jumlah keseluruhan pulih sebanyak 21, 248 atau 67.4 peratus.

Beliau berkata, 659 kes baharu Covid-19 direkodkan dengan 658 adalah penularan dalam negara dan satu kes import mendapat jangkitan dari Bangladesh membabitkan bukan warganegara.

“Sabah mencatatkan sebanyak 529 kes dan negeri-negeri di Lembah Klang pula 70 kes daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sebanyak 137 kes berkaitan kluster-kluster penjara dan pusat tahanan sementara dilaporkan hari ini terdiri daripada kluster Penjara Kepayan (26 kes) dan kluster Rumah Merah (111 kes),” katanya dalam sidang media harian mengenai perkembangan Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata sehingga 12 tengah hari tadi, sebanyak 83 kes positif sedang dirawat di unit rawatan rapi dengan 19 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Menurutnya, tiada pertambahan kes kematian hari ini menjadikan angka korban dalam negara kekal 249.

 


Pengarang :