Petugas Kesihatan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Langat membuat ujian saringan Covid-19 kepada pelajar SK Sungai Manggis dan SMK Sungai Manggis secara pandu lalu di kedua-dua sekolah berkenaan pada 17 Oktober 2020. Foto PKD Kuala Langat
BERITA UTAMASELANGOR

Covid-19: 161 kontak rapat kluster Bah Manggis disaring

SHAH ALAM, 17 OKT: Seramai 161 pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Manggis dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Manggis, Banting menjalani saringan Covid-19 yang dikendalikan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Langat hari ini.

Pegawai Kesihatannya Dr Wan Ahmad Razman Wan Abd Salim berkata saringan secara pandu lalu bermula jam 9 pagi sehingga 1 petang membabitkan pelajar daripada kelas tertentu yang dikenal pasti mempunyai kontak rapat dengan kluster Bah Manggis di daerah berkenaan.

“Berdasarkan siasatan, kita mengesan beberapa kelas di sekolah berkenaan terlibat dalam kontak rapat bagi kluster Bah Manggis yang berisiko dijangkiti Covid-19.

“Oleh sebab itu, kita mengambil pendekatan melakukan saringan terhadap individu berkaitan dan keputusan (saringan) dijangka diperoleh dalam tempoh dua atau tiga hari,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Pada masa sama, beliau berkata pengesanan kes aktif dan saringan kontak rapat bagi kluster tersebut diteruskan ke kawasan Flat Sungai Manggis esok.

“Mengikut laporan semalam terdapat 29 kes positif wabak dalam kluster itu, jadi mereka yang ada kontak rapat sama ada di sekolah mahupun komuniti perlu jalani ujian saringan ini,” katanya.

Dr Wan Ahmad Razman turut mengingatkan masyarakat supaya mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berikutan peningkatan kes pandemik itu sejak kebelakangan ini.

Katanya amalan penjarakan fizikal, memakai pelitup muka dan mengelak berada di tempat sesak seharusnya menjadi kebiasaan masyarakat meskipun tiada kes positif dilaporkan di tempat mereka.


Pengarang :