Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menyampaikan statistik jangkitan pada sidang media perkembangan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Putrajaya pada 3 Oktober 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Covid-19: 374 kes baharu, jumlah keseluruhan lepasi 15,000

KUALA LUMPUR, 10 OKT: Jumlah kes baharu Covid-19 di negara ini kekal tiga digit untuk 10 hari berturut-turut dengan 374 kes hari ini, sekali gus menyaksikan jumlah keseluruhan melepasi angka 15,000 kepada 15,096.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkembangan baharu itu menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan juga meningkat kepada 4,161 kes, selain terdapat tiga lagi kematian dilaporkan.

Jelasnya, Sabah kekal merekodkan kes baharu tertinggi dengan 277 kes, susulan lebih banyak aktiviti saringan dijalankan terutama di pelbagai daerah yang di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan PKPD secara pentadbiran.

“Di Selangor terdapat 44 kes, diikuti Kedah dengan 27 kes yang kesemuanya melibatkan Kluster Tembok, sementara Sarawak (sembilan), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (empat) dan tiga di Pulau Pinang.

“Sementara itu masing-masing dua kes di Johor, Perak dan Wilayah Persekutuan Labuan, selain satu kes di Melaka dan Wilayah Persekutuan Putrajaya,” katanya dalam sidang media secara maya yang disiarkan di Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, daripada jumlah kes baharu, 372 kes adalah penularan tempatan manakala hanya dua kes import, masing-masing melibatkan warganegara dan rakyat asing yang pulang dari Filipina.

Bagi kes penularan tempatan pula, 343 kes adalah warga tempatan dan 29 kes adalah bukan warganegara.

“Daripada 372 kes penularan dalam negara, 17 kes melibatkan pengunjung yang pulang dari Sabah, sekali gus menjadikan jumlah kes dengan sejarah perjalanan ke Sabah sejak 20 Sept kini sebanyak 341 kes,” katanya.

Mengenai pertambahan kes kematian hari ini beliau berkata, kesemua kes itu melibatkan warganegara di Sabah, selain menjadikan jumlah keseluruhan kematian akibat wabak itu kini sebanyak 155.

Beliau berkata, kematian ke-153 adalah lelaki berumur 61 tahun dengan latar belakang penyakit kencing manis dan tuberculosis mata di Hopital Tawau; wanita berusia 54 tahun (kematian ke-154) dengan penyakit kencing manis, darah tinggi dan obesiti di Hospital Queen Elizabeth, serta lelaki berumur 51 tahun (kematian ke-155) dengan penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit jantung di Hospital Semporna.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham memaklumkan terdapat 73 kes pulih hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya kini 10,780 kes atau 71.4 peratus, daripada jumlah keseluruhan kes.

Beliau berkata, sehingga kini, terdapat 73 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 28 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, sejak kebelakangan ini kes di Kedah lebih terkawal kerana kebanyakannya merupakan kes dari kluster penjara, iaitu Kluster Tembok dan kluster dari kawasan yang dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Kota Setar dan Aman Jaya.

“Bagaimanapun terdapat juga kluster berkaitan pengunjung yang pulang dari Sabah, tetapi setakat ini ia dapat dikawal dan aktiviti pengesanan berjaya mengesan kontak rapat bagi kluster tersebut.

“Hari ini terdapat 27 kes dikesan di Kedah dan daripada jumlah itu, 14 kes melibatkan Penjara Kota Setar manakala 13 kes melibatkan Penjara Pokok Sena,” katanya menjawab soalan dikemukan media mengenai status penularan Covid-19 di Kedah yang melibatkan kes jangkitan di penjara yang dikhuatiri merebak dalam komuniti.

Sementara itu, menerusi ciapan Twitter Dr Noor Hisham beliau berkata, keupayaan Malaysia untuk menjalankan ujian Reverse Transcriptase-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) sebanyak 41,354 ujian sehari adalah setanding dengan negara lain.

“Buat masa ini, Malaysia menjalankan 51.96 ujian bagi 1,000 penduduk. Ini adalah lebih tinggi dari Korea Selatan, Jepun dan Thailand,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :