Imam Masjid Negeri Muttaqin Mohd Fakiri (kanan) membaca doa selepas mengimamkan solat Jumaat ketika tinjauan di Masjid Negeri, Seremban pada 15 Mei 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Covid-19: Agong titah masjid seluruh negara anjur solat hajat

SHAH ALAM, 16 OKT: Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menitahkan semua masjid di seluruh negara mengadakan solat hajat dan doa selamat supaya penularan Covid-19 dibanteras dengan berkesan dan segera.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja berkata titah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
berikutan penguatkuasaaan semula Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di beberapa negeri.

Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin menjelaskan baginda turut bimbang kewujudan beberapa kluster baharu di Kedah, Perak, Negeri Sembilan dan Labuan.

“Seri Paduka Baginda menasihati seluruh rakyat untuk terus memainkan peranan masing-masing dan berdisiplin mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) serta amalan kebiasaan baharu.

“(Langkah itu) bagi membantu pihak berkuasa memerangi penularan Covid-19 demi keselamatan diri dan kesejahteraan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Fadil berkata Al-Sultan Abdullah turut menyeru rakyat berdoa supaya negara dikurnia keamanan dan ketenangan untuk menjamin kemakmuran serta kesejahteraan semua.

PKPB dilaksana di seluruh Sabah berkuat kuasa pada 13 hingga 26 Oktober, manakala di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mulai 14 hingga 27 Oktober.


Pengarang :