Pengurusan kompleks beli-belah One Utama melaksanakan proses nyahkuman di Mac City yang ditutup selepas salah seorang pekerjanya dijangkiti Covid-19 pada 5 Oktober lalu. Foto Facebook 1 Utama Shopping Centre
BERITA UTAMASELANGOR

Covid-19 di Selangor kembali naik, catat 135 kes

SHAH ALAM, 28 OKT: Selangor merekodkan pertambahan 135 kes Covid-19 hari ini, meningkat berbanding 89 yang dicatatkan semalam, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah itu, 132 kes melibatkan penularan tempatan manakala tiga lagi kes import masing-masing mendapat jangkitan dari Indonesia, India dan Filipina.

“Daripada 132 kes penularan tempatan, 70 dikesan daripada kluster sedia ada termasuk enam dari kluster baharu iaitu kluster Taman Laut dan kluster Bah Medan.

“Sebanyak 41 kes pula daripada saringan kontak rapat kes positif Covid-19 dan 21 kes menerusi lain-lain saringan,” katanya dalam kenyataan.

Mengenai dua kluster baharu, beliau berkata kluster Bah Idaman di Sepang merupakan kes indeks ke-12,112 yang dikenal pasti positif wabak hasil saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi pada 3 Oktober lalu.

“Saringan kontak rapat mengesan 19 lagi kes positif dan mereka dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan,” katanya.

Beliau menambah kluster Taman Laut di Petaling adalah kes indeks ke-25,431 yang diuji positif hasil saringan individu bergejala pada 21 Oktober.

Jelasnya, saringan kontak rapat mengesan sebanyak lima lagi positif dan mereka dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

 


Pengarang :