Pelajar melakukan pemeriksaan suhu badan dan sanitasi tangan di depan pintu sekolah sebagai salah satu tatacara operasi piawai (SOP) di SMK Jenjarom, Kuala Langat pada 24 Jun 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Covid-19: Dua lagi sekolah di Terengganu ditutup

KUALA NERUS, 5 OKT: Dua sekolah di Terengganu ditutup mulai hari ini hingga 11 Okt berikutan terdapat pelajar dan muridnya yang disahkan positif Covid-19.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu Salim Ab Ghani berkata dua sekolah itu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Kompleks Seberang Takir dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kompleks Seberang Takir di Kuala Nerus.

“Penutupan sekolah ini dilakukan setelah mendapat nasihat daripada Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu bagi membolehkan aktiviti disinfeksi dilakukan.

“Sehubungan itu, saringan Covid-19 juga akan dilakukan terhadap murid atau guru yang menjadi kontak rapat dengan pesakit Covid-19 di sekolah tersebut,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

SMK Kompleks Seberang Takir mempunyai 765 pelajar dan 82 guru manakala SK Kompleks Seberang Takir mempunyai 817 murid dan 63 guru.

Pada Jumaat lepas, SK Padang Kemunting juga di Kuala Nerus ditutup setelah seorang gurunya disahkan positif Covid-19 manakala sehari sebelum itu, sebuah taman bimbingan kanak-kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di Bandar Al Muktafi Billah Shah di Dungun turut ditutup setelah seorang kakitangannya disahkan positif wabak tersebut.

-BERNAMA


Pengarang :