Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menyampaikan statistik jangkitan pada sidang media secara maya berhubung perkembangan Covid-19 pada 6 Oktober 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Covid-19: ICU Hospital Queen Elizabeth II masih beroperasi

KOTA KINABALU, 11 OKT: Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Queen Elizabeth II (HQE II) di sini masih terus beroperasi, walaupun dua orang jururawatnya didapati positif Covid-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata seorang jururawat dikesan positif Covid-19 setelah menjalani saringan bergejala pada 6 Oktober lepas, justeru saringan di tempat kerja menggunakan RTK Antigen dan juga RT-PCR telah dijalankan terhadap 92 pegawai perubatan dan jururawat di hospital itu, kelmarin.

“Hasil saringan mendapati seorang lagi jururawat yang merupakan kontak rapat kepada kes indeks adalah positif Covid-19, manakala anggota perubatan yang lain didapati negatif kedua-dua RTK Antigen dan PCR. Pada masa ini, 40 daripada 66 jururawat sedang dikuarantin di rumah.

“Perkhidmatan di ICU HQE II masih berjalan seperti biasa, namun terpaksa mengurangkan jumlah pesakit daripada lapan kepada enam pesakit. Kesemua pesakit di dalam ICU telah disahkan bebas COVID-19,” katanya menerusi kenyataan di Facebook semalam.

Semalam, sebuah portal yang memetik sumber tidak dinamakan mendakwa kononnya ICU hospital itu lumpuh, setelah jururawatnya dijangkiti penyakit itu.

Dr Noor Hisham berkata punca jangkitan itu masih dalam siasatan, bagaimanapun majoriti jangkitan dalam kalangan petugas kesihatan di negeri ini setakat ini, adalah berpunca daripada komuniti dan daripada petugas kesihatan kepada petugas yang lain.

Katanya, sejak permulaan pandemik itu sehingga semalam 579 orang kakitangan kesihatan dan perubatan Kementerian Kesihatan telah dijangkiti Covid-19, dan 198 kakitangan di Sabah telah dijangkiti, yang mana bulan ini mencatat jumlah tertinggi iaitu 85 orang, berbanding bulan lepas 66 orang.

Beliau berkata, semua petugas kesihatan dan perubatan adalah dinasihatkan untuk memakai pakaian perlindungan peribadi (PPE) yang bersesuaian, semasa menjalankan tugas dan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) sama ada di tempat kerja ataupun semasa di dalam komuniti.

“Pematuhan kepada panduan amalan klinikal dan langkah kawalan jangkitan adalah amat penting untuk pencegahan. Ruang kerja yang sempit dan ruang pantri di tempat kerja, juga perlu dipastikan sentiasa bersih bagi mengelakkan penularan di tempat kerja.

“Peperangan dengan Covid-19 ternyata bawa bersama risiko jangkitan dan terkesan kepada petugas kesihatan, sekiranya kita tidak patuh kepada amalan kawalan penyakit. Pastikan kita jaga kita,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :