Aksi penjaga gol Arishah Qarinah Mohammed Nijam, 16 tangkas mengawal gawang ketika menjalani sesi latihan bersama skuad hoki Selangor di Stadium Hoki Petaling Jaya pada 2 Jun 2020. Foto ASRI/SELANGORKINI
AGENDASUKANKINI

Covid-19: Kejohanan Hoki B-14, B-16 Kebangsaan dibatalkan

KUALA LUMPUR, 28 OKT: Kejohanan Hoki Bawah 14 tahun (B-14) dan 16 tahun (B-16) Kebangsaan 2020 bagi kategori lelaki dan wanita yang sepatutnya berlangsung pada tahun ini menjadi dua lagi kejohanan yang terpaksa dibatalkan oleh Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) ekoran pandemik Covid-19.

Pengerusi Jawatankusa Pertandingan KHM Datuk Seri Anil Jeet Singh berkata adalah mustahil untuk melangsungkan kejohanan melibatkan pemain di bangku sekolah itu berikutan peningkatan kes Covid-19 yang membimbangkan, selain melibatkan penyertaan wakil negeri dan perjalanan rentas negeri.

Katanya keputusan membatalkan kejohanan itu dicapai pada mesyuarat kali keenam Jawatankuasa Pertandingan KHM Sabtu lepas setelah mengambil kira pandangan dan panduan Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan serta Majlis Keselamatan Negara.

“Kejohanan ini melibatkan pemain di bangku sekolah dan kini kebanyakan sekolah di Malaysia terpaksa ditutup ekoran Covid-19 dan membatalkan kejohanan ini adalah keputusan yang terbaik kerana saya juga yakin ibu bapa pemain turut tidak mahu mengambil risiko sekiranya anak-anak mereka terdedah kepada ancaman Covid-19,” kata Anil Jeet dalam kenyataan yang dikeluarkan KHM hari ini.

-BERNAMA


Pengarang :