Pejalan kaki memakai pelitup muka melalui Jalan Takeshita iaitu kawasan tumpuan orang ramai untuk bersiar-siar ketika penularan Covid-19 di Tokyo, Jepun pada 29 Julai 2020. Foto REUTERS
AGENDAGLOBAL

Covid-19: Kes di Jepun cecah 100,000, korban lebih 1,700

TOKYO, 30 OKT: Jumlah kumulatif kes Covid-19 di Jepun meningkat 100,000 pada Khamis, disebabkan peningkatan kes baharu ekoran pembukaan semula aktiviti ekonomi, lapor agensi berita Kyodo.

Bilangan kes sehari yang dicatatkan di seluruh negara pada Khamis sebanyak 809 buat pertama kali melepasi angka 800 sejak 29 Ogos.

Jumlah keseluruhan itu merangkumi kira-kira 700 kes membabitkan kapal persiaran Diamond Princess, yang dikuarantin di Yokohama pada Februari. Terdapat lebih 1,700 kematian sehingga kini.

Jangkitan memuncak pada Ogos sekitar 1,600 kes dan sejak itu jangkitan mula perlahan, tetapi pakar memberi amaran akan trend kenaikan dijangka berlaku lagi.

Menurut data Johns Hopkins University, jumlah kumulatif kes di Jepun berada di kedudukan ke-49 di dunia.

Situasi di Jepun lebih buruk berbanding negara jiran seperti Korea Selatan dan Taiwan, yang bertindak pantas untuk menyekat perjalanan dan menghapuskan kluster jangkitan.

Jepun juga sedang dilanda musim selesema, yang diburukkan lagi dengan Covid-19 yang memberi tekanan pada sistem perubatan. Perdana Menteri Yoshihide Suga berjanji untuk terus menyokong hospital dan mendapatkan vaksin yang cukup untuk seluruh penduduk Jepun menjelang separuh pertama 2021.

-BERNAMA

 


Pengarang :