Petugas Kesihatan Selcare membuat saringan Covid-19 kepada orang ramai yang baru pulang dari Sabah berikutan peningkatan kes wabak berkenaan di Klinik Selcare, Shah Alam pada 4 Oktober 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Covid-19: KKM kesan dua kluster baharu, satu di Selangor

SHAH ALAM, 7 OKT: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengesan dua lagi kluster baharu Covid-19 di Selangor dan Pulau Pinang.

Ketua pengarah kesihatan berkata Kluster Bah Puchong, Selangor dikenal pasti di daerah Petaling
dan Perak iaitu di daerah Larut, Matang, Selama serta Kinta.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes indeks bagi kluster itu iaitu kes ke-13061, 13065 dan 13069 dikesan positif Covid-19 pada 5 Oktober selepas pulang dari Sabah.

“Ketiga-tiga mereka dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh. Saringan kontak rapat dijalankan dan dua lagi kes positif dikenal pasti di Perak dan dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata seramai 12 individu disaring di Selangor setakat ini dengan tiga dikesan positif, manakala sembilan masih menunggu keputusan. Sementara di Perak, seramai 27 orang disaring, dua daripadanya positif dan 25 lagi menunggu keputusan.

Dr Noor Hisham berkata bagi Kluster Penjara Reman di Pulau Pinang, kes dikesan di daerah Timur Laut, yang juga merupakan kes kematian ke-141.

Katanya, mangsa adalah lelaki warganegara berumur 85 tahun yang dijumpai tidak sedarkan diri pada
awal pagi 5 Oktober di penjara dan disahkan meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang.

“Susulan itu, saringan kontak rapat dijalankan dan enam lagi kes positif dikenal pasti pada 6 Oktober. Semua kes ini melibatkan warganegara dan dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang untuk
rawatan,” kata beliau lagi.

Jelasnya, seramai 286 individu disaring setakat ini dengan tujuh positif, 78 negatif dan 201 masih menunggu keputusan.


Pengarang :