Orang ramai mematuhi arahan menggunakan pelitup muka selepas kerajaan mewajibkan penggunaannya di tempat awam dan sesak bagi mengawal penularan Covid-19. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Covid-19: Klang bertukar zon merah, rekod kes tertinggi di Selangor

SHAH ALAM, 7 OKT: Klang bertukar kepada zon merah semalam apabila mencatatkan 77 kes aktif yang sedang dirawat, kata Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC).

Pasukan itu menerusi Twitter memaklumkan, taburan kes aktif di seluruh Selangor setakat ini ialah sebanyak 232 kes.

“Jangan ambil mudah, jangan lalai. Jika lebih teruk, kita juga akan susah. Terus amalkan penjarakan fizikal, basuh tangan dengan kerap dan pakai pelitup muka,” katanya.

Sementara itu Jabatan Kesihatan Selangor melaporkan Klang merekodkan 20 kes baharu positif Covid-19 semalam, sekali gus menjadikannya daerah tertinggi wabak itu di negeri ini.

Daripada jumlah baharu itu, 17 dilaporkan berlaku di mukim Klang dan tiga di mukim Kapar.

Daerah kedua tertinggi wabak itu disusuli Petaling dengan 12 kes iaitu empat kes di mukim Bukit Raja, mukim Sungai Buloh (4), mukim Petaling (3) dan satu di mukim Damansara.

“Kemudiannya Daerah Hulu Langat dan Gombak masing-masing mencatatkan dua kes baharu, sementara Sepang dan Hulu Selangor pula masing-masing satu kes,” katanya dalam kenyataan, semalam.


Pengarang :