Pelajar Universiti Teknologi Mara Cawangan Melaka diarahkan pulang berikutan penutupan semua institusi pendidikan tinggi awam dan swasta serta institut latihan kemahiran setelah kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan fasa 1 mulai 18 hingga 31 Mac 2020 di seluruh negara. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Covid-19: Pendaftaran secara fizikal pelajar IPT ditangguh

KUALA LUMPUR, 2 OKT: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menangguhkan pendaftaran secara fizikal dan bersemuka pelajar institusi pendidikan tinggi (IPT) bagi kemasukan Oktober 2020 dan pelajar lama kembali ke kampus susulan kebimbangan terhadap peningkatan kes Covid-19.

Menurut kementerian itu semua urusan pendaftaran pelajar serta aspek pengajaran dan pembelajaran boleh dilaksanakan secara dalam talian hingga pengumuman baharu mengenainya dibuat.

“Keputusan menangguhkan pendaftaran secara fizikal atau bersemuka pelajar-pelajar yang terlibat perlu dibuat demi memelihara kesejahteraan dan keselamatan semua pihak.

“Bagi pelajar yang telah berada di kampus dan sedang mengikuti aktiviti akademik, mereka boleh kekal berada di kampus masing-masing. Pihak IPT diminta membantu segala keperluan yang diperlukan oleh kumpulan pelajar ini,” kata KPT dalam kenyataan hari ini.

KPT berkata sebarang pertanyaan berkaitan pergerakan balik ke kampus serta sesi pengajaran dan pembelajaran boleh dirujuk terus kepada IPT masing-masing.

“KPT juga mencadangkan kepada semua IPT supaya menangguhkan semua program atau aktiviti yang melibatkan himpunan di dalam kampus,” demikian menurut kenyataan itu.

KPT juga telah berunding dengan syarikat penerbangan bagi memohon pertimbangan penjadualan semula penerbangan pelajar pulang ke kampus khususnya bagi mereka yang telah membeli tiket penerbangan ke IPT masing-masing.

KPT memaklumkan bahawa syarikat penerbangan bersetuju menjadualkan semula penerbangan pelajar IPT sehingga 31 Disember 2020.

“KPT prihatin dengan pandangan pelbagai pihak serta kebimbangan yang disuarakan pelajar, ibu bapa dan masyarakat berikutan peningkatan kes Covid-19 yang berlaku hanya selang beberapa hari sahaja dari tarikh kemasukan pelajar baharu ke universiti. Justeru, KPT mengambil langkah proaktif berunding dengan syarikat penerbangan,” menurut kementerian itu.

Pada 27 September lepas, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Noraini Ahmad dilaporkan mencadangkan IPT menangguhkan pendaftaran kemasukan pelajar baharu dan lama dari kawasan zon merah secara bersemuka.

Noraini mahu proses pendaftaran dan pembelajaran bagi kumpulan pelajar terbabit dilakukan secara dalam talian.

-BERNAMA


Pengarang :