Petugas kesihatan menanggalkan gelang kuarantin seorang individu yang selesai menjalani kuarantin wajib 14 hari dan bebas jangkitan Covid-19 ketika tinjauan di Klinik Kesihatan Membedai Labuan, Sabah pada 6 Oktober 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Covid-19 rekod 660 kes, empat kematian di Sabah

SHAH ALAM, 13 OKT: Kes baharu Covid-19 melonjak kepada 660 hari ini kedua tertinggi selepas merekodkan 691 kes pada 6 Oktober lalu menjadikan jumlah keseluruhan 16,880 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata terdapat empat kematian yang kesemuanya di Sabah melibatkan tiga warganegara dan satu bukan warganegara.

“Daripada 660 kes baharu terdapat dua kes import membabitkan jangkitan dari luar negara melibatkan dua bukan warganegara iaitu satu kes dari India di Labuan dan satu kes dari Nepal di Kuala Lumpur.

“Bagi 658 kes penularan di dalam negara, 618 adalah warganegara Malaysia dan 40 kes bukan warganegara,” katanya ketika sidang media secara maya di Facebook hari ini.

Beliau menjelaskan Sabah merekodkan kes tertinggi sebanyak 443 diikuti Selangor (76), Kedah (60), Pulau Pinang (23) dan Labuan (18).

Selain itu, Perak turut merekodkan 16 kes baharu diikuti Johor (10), Kuala Lumpur (sembilan), Negeri Sembilan (dua) dan Pahang (satu).

Dr Noor Hisham berkata pertambahan empat lagi kematian menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 163 kes.

“Sehingga kini terdapat 101 kes positif yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 32 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

 


Pengarang :