Orang ramai mematuhi arahan menggunakan pelitup muka selepas kerajaan mewajibkan penggunaannya di tempat awam dan sesak bagi mengawal penularan Covid-19. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Covid-19: Sabak Bernam, Sepang status hijau, pastikan patuhi SOP

SHAH ALAM, 6 OKT: Sabak Bernam dan Sepang menjadi dua daerah di negeri ini yang masih berstatus zon hijau, menurut data Bilik Gerakan Negeri Selangor.

Data tersebut menunjukkan walaupun Sepang mencatatkan 15 kes aktif setakat ini namun angka tersebut melibatkan kes import dan tiada penularan tempatan.

Selain itu, Petaling menjadi daerah tertinggi merekodkan kes baharu Covid-19 semalam dengan 17 kes, Klang dan Hulu Langat (masing-masing 5 kes), Hulu Selangor (tiga), Sepang (dua) serta Gombak dan Hulu Selangor (masing-masing satu).

Sementara itu Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) berkata situasi terkini penularan wabak memerlukan sikap tanggungjawab seluruh masyarakat.

“Pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) adalah kritikal dan menjadi kunci penting untuk menyekat jangkitan Covid-19 tersebar meluas.

“Tolong amalkan penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka serta pembersihan tangan secara kerap,” katanya menerusi Facebook.

Selangor merekodkan sebanyak 34 kes baharu Covid-19 semalam menjadikan jumlah keseluruhan kes di negeri ini meningkat kepada 2,412.


Pengarang :