Petugas Kesihatan Selcare membuat saringan Covid-19 kepada orang ramai yang baru pulang dari Sabah berikutan peningkatan kes wabak berkenaan di Klinik Selcare, Shah Alam pada 4 Oktober 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Covid-19: Sekatan keluar, masuk Sabah bermula 12 Oktober

SHAH ALAM, 6 OKT: Kerajaan menguatkuasakan sekatan perjalanan rentas negeri untuk keluar dan masuk ke Sabah bermula 12 hingga 25 Oktober ini.

Menteri kanan (kluster keselamatan) berkata keputusan itu melibatkan kawasan Semenanjung, Sarawak dan Labuan susulan peningkatan kes Covid-19 di seluruh negeri di bawah bayu itu.

“Bagaimanapun, terdapat pengecualian khas diberikan kepada kes tertentu seperti kecemasan dan perkhidmatan perlu, namun mesti mendapat kebenaran dari Kementerian Kesihatan (KKM) terlebih dahulu,” kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan hari ini.

Berikut adalah kebenaran yang diberikan:

Bagi pergerakan masuk ke Sabah:

– Rakyat Sabah yang memegang MyKad kod H

– Pasangan kepada rakyat Sabah yang memiliki pas imigresen Malaysia yang sah tempoh yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia, Sabah atau bukti perkahwinan dan sijil lahir anak.

– Pekerja bidang perkhidmatan perlu (essential service) yang mempunyai pas Imigresen Malaysia yang sah tempoh yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia, Sabah.

– Pelajar bukan rakyat Sabah yang mempunyai kad atau pas pelajar daripada Jabatan Imigresen Malaysia, Sabah.

– Anggota Perkhidmatan Awam Persekutuan yang berkhidmat di Sabah perlu mendapatkan cop seksyen 66(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 di pejabat Imigresen Sabah setelah masuk ke Sabah.

– Pemastautin tetap Sabah yang memiliki MyPR kod H atau Kad Permit Masuk atau endosmen permit masuk dalam passport.

Bagi pergerakan keluar dari Sabah:

– Kes kecemasan dan tugas-tugas rasmi dibenarkan dengan mengemukakan permohonan dan mendapat kebenaran daripada KKM

– Mereka juga akan menjalani ujian saringan Covid-19 oleh KKM setibanya di pintu masuk destinasi masing-masing.

Orang ramai boleh menghubungi Bilik Gerakan Bencana Negeri Sabah
di talian 088-369434 untuk sebarang pertanyaan lanjut.

Pada 1 Oktober, kerajaan turut mengumumkan melaksanakan kawalan rentas daerah di seluruh Sabah berkuat kuasa Sabtu lalu hingga 16 Oktober ini.


Pengarang :