Petugas Kesihatan Selcare memasukkan sampel ujian ke dalam beg saringan Covid-19 di Klinik Selcare, Shah Alam pada 4 Oktober 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Covid-19: Selangor catat 34 kes baharu, 17 pernah ke Sabah

SHAH ALAM, 5 OKT: Selangor merekodkan sebanyak 34 kes baharu Covid-19 hari ini dengan 17 daripadanya membabitkan saringan individu yang pulang dari Sabah.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata penularan wabak di negeri ini turut meliputi Kluster Meru dengan sembilan kes, Kluster Seri Anggerik (tiga) dan Kluster Benteng PK (satu).

“Selain itu masing-masing satu kes membabitkan saringan jangkitan pernafasan akut teruk, saringan bergejala, saringan kontak rapat dan saringan anak kapal,” katanya dalam kenyataan.

Malaysia mencatatkan sebanyak 432 kes baharu Covid-19 hari ini, tertinggi pernah dilaporkan sejak penularan virus itu.

Sejumlah 429 kes membabitkan penularan tempatan manakala tiga lagi kes import dengan keseluruhan kes  sebanyak 12,813. Jumlah kematian kekal 137 kes.


Pengarang :