Anggota Tentera Malaysia (ATM) mengawal pergerakan keluar masuk orang ramai di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Asrama Tropicana ketika tinjauan pada 12 Oktober 2020. Foto BERNAMA
SELANGOR

Covid-19: Selangor catat 50 kes baharu, kesan kluster Merbok

SHAH ALAM, 16 OKT: Sebanyak 50 kes baharu Covid-19 direkodkan di Selangor hari ini menurun berbanding 150 semalam dengan lapan daripadanya melibatkan kluster baharu dinamakan kluster Merbok.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata ini menjadikan jumlah keseluruhan wabak di negeri ini sebanyak 3,014 kes.

“Sebanyak 25 kes adalah daripada saringan kontak rapat kes positif, enam kes daripada kluster sedia ada, enam kes saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah) dan lima kes lain-lain saringan,” katanya pada sidang media secara maya hari ini.

Beliau berkata seramai 59 pesakit di negeri itu sembuh dan dibenarkan keluar hospital.

Secara keseluruhan sebanyak 629 kes baharu Covid-19 dicatatkan di Malaysia menjadikan jumlah keseluruhan 18,758 kes dengan pertambahan enam kematian menjadikan jumlah korban 176 orang.


Pengarang :