Seramai 250 guru sekolah di Labuan menjalani ujian pengesahan dan saringan kedua Covid-19 serta tindak balas berantai polimerase di Pusat Kokurikulum Negeri Wilayah Persekutuan Labuan pada 8 Oktober 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Covid-19: Semua sekolah di Sabah ditutup hingga 25 Oktober

KUALA LUMPUR, 10 OKT: Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan semua sekolah di Sabah ditutup mulai hari ini sehingga 25 Oktober.

Bagaimanapun, murid-murid sekolah berasrama penuh yang berada di zon merah serta mereka di asrama sekolah yang terletak di zon hijau tetapi rumah keluarga adalah di zon merah, perlu kekal tinggal di asrama masing-masing.

Menurut KPM, pihak sekolah akan menguruskan keselamatan dan kebajikan murid-murid tersebut di asrama.

“Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara Mengenai Pengurusan Covid-19 yang dipengerusikan YAB Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pagi ini telah memberi tumpuan khusus kepada situasi di Sabah.

“Pada masa ini, semua sekolah di zon merah di negeri Sabah telah ditutup. Memandangkan kes-kes di negeri ini masih menunjukkan peningkatan, mesyuarat bersetuju supaya KPM meneliti keperluan untuk menutup sekolah-sekolah di seluruh negeri Sabah,” menurutnya dalam kenyataan semalam.

Dalam tempoh itu, KPM berkata pentadbir sekolah diarah memastikan para guru dan murid-murid melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah dengan memuat turun manual di portal rasmi KPM (www.moe.gov.my).

-BERNAMA


Pengarang :