Petugas Dewan Negeri Selangor dan Media melakukan ujian saringan Covid-19 bagi persediaan menghadapi Sidang Dewan Negeri Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 25 Oktober 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Covid-19: Speaker harap ADN cukup masa bahas Belanjawan 2021

SHAH ALAM, 25 OKT: Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS) berharap wakil rakyat mempunyai masa secukupnya bagi membahaskan Belanjawan 2021 pada persidangan bermula Jumaat ini.

Ng Suee Lim berkata ia bagi memastikan kebajikan dan kepentingan rakyat Selangor terjamin walaupun ketika kes Covid-19 memuncak ketika ini.

“Saya mahu ahli dewan diberi masa secukupnya supaya belanjawan untuk rakyat pada tahun depan yang merangkumi kebajikan, pembangunan dan ekonomi dapat diperhalusi sebaiknya.

“Kita mahu supaya perjalanan dewan sihat dan subur dengan demokrasi,” katanya ditemui media selepas menjalani ujian saringan di Bangunan SUK hari ini.

Sementara itu, Timbalan Speaker Hasnul Baharuddin berkata belanjawan kali ini pasti menjadi perhatian masyarakat memandangkan Selangor antara negeri termaju.

“Tetapi harapan saya ialah supaya belanjawan 2021 dapat menyelesaikan masalah sedia ada seperti ekonomi terjejas akibat Covid-19.

“Tidak lupa ialah masalah air, dan saya yakin Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sedang berusaha keras bagi memastikan masalah berkaitan air di negeri ini dapat diselesaikan dengan sebaik mungkin,” katanya.

Sidang DNS dijadulkan bermula 30 Oktober ini dengan pembentangan Belanjawan Selangor 2021.


Pengarang :