Ketua Pengarah Eksekutif Invest Selangor Berhad, Dato’ Hasan Azhari Idris (empat dari kanan) merasmikan Majlis Pecah Tanah Hab Pengedaran Berpusat Daikin Malaysia di Kota Elmina, Rawang pada 8 Oktober 2020. Foto NORRASYIDAH ARSHAD/SELANGORKINI
AGENDAAGENSINASIONALSELANGOR

Daikin pilih Selangor bina hab terbesar di Asia Tenggara

RAWANG, 9 OKT: Pengeluar jenama penyaman udara terkemuka, Daikin memilih Selangor sebagai lokasi terbesar Hab Pengedaran Berpusat miliknya di Asia Tenggara.

Ketua pegawai operasi Daikin Malaysia berkata hab berkenaan menggantikan lapan pusat logistik milik tiga anak syarikat iaitu Daikin Malaysia Sdn Bhd, Daikin Malaysia Sales & Services Sdn Bhd dan Acson Malaysia Sales & Services Sdn Bhd.

“Ini bagi mengoptimumkan logistik dan meningkatkan kecekapan perkembangan Daikin Malaysia selain memastikan rangkaian bekalan yang responsif dan pantas.

“Pembinaan hab ini akan mengurangkan 30 peratus karbon pengangkutan milik kami. Langkah ini turut mengurangkan kos gudang, pengangkutan serta pengendalian operasi selain meningkatkan prestasi penghantaran dan kualiti logistik,” kata Shogo Ando ketika berucap di Majlis Pecah Tanah Hab Pengedaran Berpusat Daikin Malaysia di sini semalam.

Majlis dirasmikan Ketua Pengarah Eksekutif Invest Selangor Berhad, Dato’ Hasan Azhari Idris.

Pembinaan bernilai RM126 juta itu dijangka siap pada September tahun hadapan meliputi kawasan seluas 5.26 hektar.


Pengarang :