BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Dari kaca mata MB: Membangunkan ekosistem budaya

Bahagian akhir ucapan dalam program Malam Himpunan Rindu: Sayembara Deklamasi Puisi Kebangsaan di kediaman rasminya pada 18 September.

Bahagian pertama Memaknai khazanah seni–MB

Dua elemen penting yang saya cuba kemukakan ketika menjadi EXCO kebudayaan ialah melahirkan Kota Seni. Petaling Jaya dan Shah Alam saya anggap sebagai kota yang hampir masuk di pinggir-pinggir sebuah metropolitan dan harus diisi dengan konteks kebudayaan, yang sebahagiannya telah diisi. Itulah lahirnya Rumah Seni Selangor yang melahirkan bakat-bakat muda dalam seni halus, dalam seni tampak sama ada dalam bentuk arca dan lukisan.

Insya-Allah dalam masa beberapa bulan atau beberapa tahun lagi, kita cuba membangunkan Selangor Modern Arts, muzium yang akan memuatkan lukisan berkualiti tinggi. Apatah lagi, Shah Alam merupakan tapak kepada kelahiran ramai pengkarya agung mahupun pelukis ampuh sedia ada.

Kalau datang ke Seksyen 7, kita nampak Galeri Ringkas Yusof Ghani. Kalau ke bangunan Galeri Shah Alam, kita dapat melihat lukisan-lukisan Suzlee Ibrahim. Semuanya graduan seni halus, Universiti Teknologi Mara (UiTM). Kalau kita datang ke UiTM, kita akan lihat lukisan yang sangat indah.

Namun begitu, kita gagal melengkapkan kitaran tersebut. Melahirkan pengkarya yang gemilang dan cemerlang tapi dalam masa sama bagaimana kitaran ekosistem yang melahirkan tersebut. Kita sebutlah program seperti Kota Seni. Masih sedikit dan belum sempurna kerana kita ingin menukar kefahaman – menganggap orang seni terpinggir, ada dunianya sendiri, dalam lingkungannya sendiri; suaranya, nadanya, bahasanya berbeza. Kalau lagu Kopratasa, dia ada dunia dia sendiri. Dia panggil luar daripada bidang sedangkan ia bergabung membentuk satu citra, nadi dan juga jati diri kepada negara dan rakyat.

Anugerah sastera

Seterusnya, kita juga melahirkan anugerah Hadiah Sastera SelangorKini (kini Hadiah Sastera Selangor), SN Dr Anwar Ridhwan pernah menjadi salah seorang panelnya – ada tiga kategori cerpen, esei dan puisi. Sebenarnya pada tahun lepas, saya minta supaya tahun ini kita adakan kelas agung (masterclass) kepada generasi masa depan. Kita ada SN Datuk Zurinah Hassan yang tinggal di Shah Alam.

Dato’ Seri Amirudin Shari (dua, kanan) menyempurnakan pelancaran buku berjudul Si Pena 3 pada Majlis Hadiah Sastera Selangor di SACC Mall, Shah Alam pada16 Disember 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Ada beliau buat syair tentang Shah Alam suatu ketiku dahulu, ketika pengisytiharan Shah Alam sebagai bandar raya. Ia harus disambung dan diajar dari masa ke semasa. Malangnya ada pandemik Covid-19 yang sedikit sebanyak menggugat beberapa pelan.

Apabila dikunjungi rakan-rakan daripada Gapena, saya sedia menyambut sambutan ini kerana saya faham, ia bukan sebahagian acara penyendal untuk acara kemerdekaan. Ia harus diisi dengan kandungan – yang bermakna, yang mungkin tidak sehaluan dengan kita, yang mungkin tidak sefikrah. Kita harus menghidupkan karya yang kadangkala bertingkah, bertembung sebaliknya temu tembung itulah sebenarnya mencorakkan dan membentuk citra dan nadi bangsa.

Jadi, saya berharap agar acara ini merupakan salah satu titik penting kepada hasrat Kerajaan Negeri yang mahu menjadi sebuah negeri yang lengkap. Kemajuannya bukan hanya pada bangunan agam, bukan hanya diukur kepada teknologi tinggi yang dapat dinikmati oleh rakyat, tetapi juga diukur dari segi pemikiran, jiwa, hati nurani sebagai seorang rakyat sebuah negeri maju. Negara dan rakyat yang berfikiran matang, mengetahui adab ketika berbeza, memahami batas tertentu dalam politik dan juga dalam banyak perkara – yang kadangkala kita lihat kosong.

Diguris Ayu Utami

Saya pernah terguris suatu ketika apabila dalam program yang dihadiri novelis agak kontroversi dan terkenal di Indonesia iaitu Ayu Utami (gambar) – yang saya jemput – apabila sampai di forum, beliau menyebut, ‘saya agak gembira dan agak senang tinggal di Kuala Lumpur’ sebab program itu di Selangor, ada pohon tinggi menghijau, ada sistem perparitan dan sistem yang jauh lebih baik daripada Indonesia termasuk Jakarta. Tetapi beliau sering berkata ‘saya tidak melihat jiwa pada warga Kuala Lumpur dan warga Petaling’ ataupun warga sekitar Selangor.

Foto Twitter Ayu Utami

Mungkin detik masanya kurang tetapi itu mengguris kerana tidak ada karya yang boleh kita banggakan untuk ditampilkan pada peringkat antarabangsa. Tidak ada watak dan wajah yang boleh kita tampilkan. Malah, kalau kita lihat seni muzik sebagai contoh, pada tahun 1990-an ketika era rock, Malaysia begitu hebat. Lagu dendangan Amy, Awie, Saleem dinyanyikan di Indonesia.

Pada hari ini, karya pemuzik kita saya boleh dikatakan masih lagi menjadi pilihan kedua berbanding pemuzik atau penyanyi Indonesia yang turut disiulkan oleh rakyat, bahkan anak-anak kita. Ini menjadi pengajaran, mungkin kita boleh kata bahawa kita lebih baik, lebih maju tetapi kalau karya seni kita, itu gagal bertarung pada peringkat antarabangsa hatta peringkat serantau sekalipun.

Sebab itu pada 2016 dan 2017, saya membuat program yang dipanggil sebagai kesusasteraan ataupun persuratan nusantara. Cuba melihat karya-karya lisan ketika itu. Insya-Allah kita akan melihat karnival ataupun pesta persuratan nusantara yang kedua selepas ini, dengan melihat karya-karya bertulis pula. Sebelum ini, kita menumpu kepada karya lisan tapi saya percaya kita tidak kalah kualiti, kita tidak kalah isi kandungan.

Cuma, kadangkala kita kalah berani, kita malu-malu untuk menampilkan. Kita cepat rasa tunduk bila nampak karya WS Rendra, kita rasa segan-segan dibandingkan dengan esei Goenawan Mohamad. Kita kalah dan kalangkala rasa curiga membandingkan lukisan-lukisan kita dengan karya dari Filipina ataupun sebagainya.

Jadi, besarlah harapan kita, walaupun majlis santai-santai, makan dan baca puisi tapi saya percaya ia mengandung maksud, pengertian dan jiwa yang besar untuk kita menjadi sebuah bangsa yang besar. Ingin menjadi sebuah tamadun yang besar, ingin menjadi sebuah kelompok yang dihormati yang bukan hanya kaku dengan teknologi tetapi juga mempunyai kedalaman serta kelembutan jiwa.

Selangor sedia bekerjasama dengan mana-mana agensi baik persekutuan, negeri ataupun daerah. Kerana saya juga ingin melihat kemajuan ini bukanlah kemajuan yang kontang. ‘Maju Bersama’ selalu saya sebut dalam poster, plakad, coretan Twitter kerana memahami dan mendalami ke segenap aspek dan melengkapi sebuah kitaran yang cemerlang.

 

 

 

 


Pengarang :