Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri pada sidang media selepas merasmikan Seminar Penipuan Umrah kepada Agensi Pengelola Umrah di Kompleks Islam Putrajaya pada 23 September 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Dr Zulkifli sah pulih daripada Covid-19

KUALA LUMPUR 14 OKT: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri disahkan pulih sepenuhnya daripada Covid-19.

Zulkifli dalam satu kenyataan di laman Facebook hari ini berkata beliau dibenarkan keluar dari wad pada petang ini selepas disahkan positif wabak itu pada 5 Oktober lepas.

“Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua.

“Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga Hari Kebangkitan…Segala puji bagi Allah yang mana dengan nikmatnya sempurna segala kebaikan,” katanya.

Walau bagaimanapun, beliau berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatinya untuk berehat di rumah sehingga selesai Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula hari ini sehingga 27 Okt depan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor.

Zulkifli berkata buat masa ini beliau disaran untuk tidak bertemu sesiapa namun memberitahu pihak yang mahu berhubung dengannya boleh berbuat demikian melalui sidang video sahaja.

“Saya akan terus memantau semua gerak kerja dan laporan agensi-agensi agama di bawah tanggungjawab saya dari rumah…Apa-apa makluman umum akan disampaikan melalui media sosial saya,” tambahnya.

Memandangkan PKPB baharu sahaja bermula, Zulkifli seterusnya berkata fokus utamanya pada masa ini adalah untuk menyalurkan bantuan secepat mungkin kepada kelompok sasar khususnya di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor.

Bekas Mufti Wilayah Persekutuan itu pada masa sama berterima kasih kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, ahli jemaah menteri dan para ulama dunia yang menghantar pesanan mesej kepada beliau selain menghargai setiap doa dititipkan oleh rakyat Malaysia kepadanya.

“Tidak lupa (terima kasih) kepada Menteri Kesihatan, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia dan warga KKM khususnya di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban,” katanya.

Selain itu, beliau juga berdoa kepada rakyat Malaysia yang dijangkiti Covid-19 agar segera sembuh seterusnya dapat kembali menjalani kehidupan bersama keluarga tercinta.

“Semoga Allah SWT melimpahkan kebaikan, keberkatan dan keharmonian kepada Malaysiaku yang tercinta….Moga perpaduan kita rakyat Malaysia terus terpelihara…Sentiasa ingat pepatah lama, ‘carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum juga’,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :