Tinjauan di Sungai Semenyih, Dengkil yang tercemar hingga menyebabkan LRA Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi dihenti tugas pada 5 Oktober 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Dua ditahan kes pencemaran Sungai Semenyih

KUALA LUMPUR, 7 OKT: Polis menahan dua lelaki yang disyaki terlibat dalam kes pencemaran Sungai Batang Benar, Negeri Sembilan dan Sungai Semenyih, dekat sini semalam.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata kedua-dua lelaki itu, masing-masing berusia 30an dan 40an, ditahan di Kota Bharu, Kelantan ketika dalam perjalanan pulang ke Nilai.

“Saya belum terima lagi laporan lengkap soal siasat berkenaan kes ini. Kes disiasat polis Negeri Sembilan… berilah sedikit masa untuk kami siasat kerana kita tidak boleh terburu-buru,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pengukuhan Siasatan Jenayah Komersial, pelancaran portal Aplikasi Semak Mule di Maktab Polis Diraja Malaysia, Cheras di sini.

Sementara itu di SEREMBAN, Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan SAC Che Zakaria Othman berkata kedua-dua suspek disiasat mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan susulan laporan polis yang dibuat Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Isnin lepas.

“Siasatan dibuat di sebuah tapak berhampiran Sungai Batang Benar, Jalan Emas berdekatan kilang Chuan Plus Industries Sdn Bhd yang disyaki menjadi tempat pembuangan bahan sisa berkaitan dan beberapa sampel di tempat kejadian diambil pasukan forensik IPK (Ibu Pejabat Polis Kontinjen) Negeri Sembilan untuk siasatan,” katanya pada sidang media di IPK Negeri Sembilan hari ini.

“Polis turut merampas sebuah lori dan sejumlah dokumen urusan pengangkutan,” tambahnya.

Che Zakaria berkata kedua-dua lelaki terbabit, masing-masing bekerja sebagai pemandu dan kelindan lori sebuah syarikat pengangkutan di Kelantan, direman tujuh hari bermula hari ini.

Pada Isnin, Bernama melaporkan Kementerian Alam Sekitar dan Air menyatakan sejumlah bahan buangan dan bahan sebatian organik yang tersisa ditemukan di kawasan belukar di pinggir kawasan industri di Jalan Emas, Kawasan Perindustrian Nilai, iaitu punca pencemaran di sungai berkenaan.

Pencemaran itu menyebabkan dua loji rawatan air iaitu di Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi dihenti tugas mengakibatkan gangguan bekalan air tidak berjadual yang menjejaskan 309,687 akaun pengguna di Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang.

– BERNAMA


Pengarang :