AGENDAEKONOMINASIONAL

Duta Jepun: Mudahkan prosedur bagi lonjakkan pelaburan baharu

KUALA LUMPUR, 12 OKT: Malaysia boleh menjangkakan peningkatan ketara pelaburan dari Jepun sekiranya prosedur berkaitan pelabur baharu dipermudahkan dan diperkemaskan, kata Duta Jepun di Malaysia, Hiroshi Oka.

Beliau berkata kerajaan Jepun turut melakukan sebaik mungkin untuk menggalakkan pelaburan baharu ke Malaysia yang sejak akhir-akhir ini dipelbagaikan daripada sektor elektrik dan elektronik konvensional kepada antaranya beberapa industri yang lebih pelbagai.

“Masih ada ruang bagi penambahbaikan untuk pelaburan baharu berpotensi direalisasikan. Contohnya, memperkemaskan dan memudahkan prosedur berkaitan pelabur, seperti penubuhan pusat perkhidmatan sehenti yang bertujuan melancarkan pelaburan baharu.

“Daripada mendapatkan banyak kebenaran yang diperlukan bagi pelaburan baharu dengan mengunjungi dan berunding dengan banyak pejabat kerajaan, malah langkah itu kerap menjadi proses yang mengambil masa yang panjang, jadi, jika perkhidmatan sehenti diwujudkan, ia akan menguruskan semua kelulusan diperlukan selain membantu pelabur baharu,” katanya kepada Bernama.

Beliau mencadangkan supaya Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida), sebagai agensi penggalakan pelaburan utama, boleh berperanan sebagai pusat sehenti, termasuk untuk sektor bukan pembuatan, menguruskan segala prosedur dan birokrasi agar memudahkan pelabur baharu.

“Sudah tentu, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Mida serta semua agensi yang relevan di bawah kementerian itu amat membantu dalam menggalakkan lagi perniagaan Jepun untuk datang dan beroperasi di sini,” katanya.

Oka berkata pegawai di kedutaan Jepun kerap berbincang dengan Miti dan Mida, termasuk mengenai pendekatan bagi mempertingkat iklim pelaburan dan sebarang bentuk persekitaran lebih mesra yang diwujudkan oleh kerajaan Malaysia dan langkah itu merupakan aspek yang selalu dihargai oleh Jepun.

“Oleh yang demikian, saya perlu tekankan bahawa kita mempunyai kerjasama cemerlang yang berterusan di antara Jepun dengan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata justeru, ini membawa kepada pelaburan dalam sektor baharu seperti industri peralatan perubatan, makanan halal dan pesawat.

Tahun lepas, Jepun muncul sebagai penyumbang pelaburan langsung asing terbesar, yang disifatkan beliau adalah ‘usaha sokongan kepada daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pilihan utama bagi pelaburan asing syarikat Jepun”.

Selain itu, beliau berkata antara yang dipelajari daripada pandemik Covid-19 adalah pentingnya untuk memperkukuh daya tahan rantaian bekalan.

Oleh yang demikian, Jepun sedang membantu syarikatnya untuk mempelbagaikan asas bekalan agar dapat meminimumkan risiko gangguan, katanya.

Oka berkata berdasarkan pengalaman Jepun dari segi keberkesanan dan kecekapan dalam penggunaan teknologi digital, kerajaan Jepun, Organisasi Perdagangan Luar Jepun (Jetro) serta Dewan Perdagangan dan Perindustrian Jepun Malaysia (Jactim) bersama-sama dengan kerajaan Malaysia serta agensi seperti Miti, Mida dan Sirim membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini menerima guna teknologi digital untuk meningkatkan produktiviti masing-masing.

Pada 2019 sahaja, 10 seminar dianjurkan Jetro dan Sirim dengan kerjasama syarikat Jepun di seluruh negara menerusi perkongsian kepakaran dan pengalaman mereka dalam penggunaan teknologi digital.

“Kami kini memasuki fasa kedua proses perkongsian ini. Kami mahu merealisasikan penggunaan teknologi digital dalam kalangan PKS Malaysia,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :