Grafik Media Selangor
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Ekonomi negara dijangka terus pulih bulan mendatang

KUALA LUMPUR, 22 OKT: Jabatan Perangkaan Malaysia menjangka ekonomi negara terus berada dalam trend pemulihan berdasarkan kepada kadar pertumbuhan Indeks Pelopor (IP) yang lancar.

Indeks Pelopor merupakan alat yang digunakan untuk menjangkakan kenaikan dan penurunan dalam ekonomi.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata IP mencatatkan 108.5 mata pada Ogos 2020 daripada 100.8 mata pada Ogos 2019, mengekalkan pertumbuhan tahunan sebanyak 7.6 peratus.

Bagaimanapun, katanya, IP merosot kepada negatif 0.5 peratus yang disebabkan oleh bilangan syarikat baru didaftar mencatatkan (negatif 0.6 peratus), import benar semi konduktor (negatif 0.4 peratus) dan bilangan unit kediaman yang diluluskan pembinaan (negatif 0.1 peratus).

“Walaupun IP perlahan pada bulan rujukan, kadar pertumbuhan terlancar IP adalah konsisten di atas trend dan bergerak ke atas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Uzir berkata, ini menunjukkan bahawa ekonomi Malaysia dijangka terus berada dalam trend pemulihan pada bulan-bulan ke hadapan.

Bagaimanapun, katanya, risiko terhadap pertumbuhan masih kekal berikutan lonjakan kes Covid-19 ketika ini.

Sementara itu, Indeks Serentak (IS) yang mengukur prestasi ekonomi semasa menunjukkan pertumbuhan tahun ke tahun yang lebih baik mencatatkan negatif 2.3 peratus daripada negatif 2.4 peratus pada Julai 2020.

“Berasaskan bulanan, IS meningkat kepada 0.5 peratus disokong oleh peningkatan dalam indeks kuantiti perdagangan runcit (0.5 peratus) dan gaji & upah benar di sektor pembuatan (0.1 peratus),” katanya.

Mohd Uzir berkata keadaan semasa disokong oleh prestasi indeks volum perdagangan borong & runcit yang menggambarkan tanda pemulihan untuk mencatat 130.0 mata dengan pertumbuhan negatif 2.4 peratus tahun ke tahun.

“Ini merupakan pertumbuhan negatif terkecil sejak Mac 2020. Selain itu, dari segi statistik tenaga buruh, jumlah penduduk bekerja meningkat 0.5 peratus kepada 15.2 juta orang disumbang terutamanya dalam sektor Perkhidmatan,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :