Petugas Kementerian Kesihatan melakukan saringan Covid-19 kepada penumpang dari Sabah yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada 28 September 2020. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Empat lagi kluster baharu dikenal pasti – KKM

KUALA LUMPUR, 1 OKT: Empat kluster baharu Covid-19 dikenal pasti iaitu kluster Jalan Meru di Selangor, Kluster Joo Hwa di Sabah, Kluster Selasih di Putrajaya dan Kluster Bah Ketil di Kedah.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kluster Jalan Meru dikenal pasti di Klang dengan kes indeks kluster itu (iaitu kes ke-11,148) melibatkan lelaki tempatan berumur 30 tahun, yang mula bergejala sejak 24 September.

“Beliau dikesan positif pada 29 September dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh. Susulan itu, saringan kontak rapat dijalankan dan tiga lagi kes positif Covid-19 dikenal pasti melibatkan warga tempatan bagi kluster ini.

“Kontak rapat sedang dikenal pasti dan saringan sedang dirancang oleh Pejabat Kesihatan Daerah yang terlibat,” katanya pada sidang media perkembangan Covid-19 hari ini.

Berhubung kluster Joo Hwa yang dikenal pasti di Tawau, Dr Noor Hisham berkata kluster itu melibatkan kes indeks (iaitu kes ke-10,273) seorang lelaki tempatan berumur 31 tahun.

“Kes mula bergejala demam dan batuk sejak 14 September dan dikesan positif pada 20 September. Susulan itu, saringan kontak rapat telah dijalankan dan empat kes positif melibatkan warga tempatan bagi kluster itu dikenal pasti. Mereka telah dimasukkan ke Hospital Tawau untuk rawatan,” katanya.

Beliau berkata kluster Selasih, Wilayah Persekutuan Putrajaya pula dikenal pasti hasil saringan kes indeks lelaki warga tempatan berumur 37 tahun yang mempunyai sejarah perjalanan ke Kota Kinabalu, Melangkap dan Kundasang, Sabah pada 13 hingga 20 September dan 24 hingga 27 September.

“Kes mula bergejala demam dan batuk sejak 25 September kes tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 27 September dan dikesan positif pada 28 September.

“Susulan itu, enam lagi kes positif bagi kluster itu dikenal pasti hasil saringan kontak rapat melibatkan warga tempatan, mereka dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan,” katanya.

Sementara itu, kluster Bah Ketil dikenal pasti di daerah Baling dan Langkawi melibatkan kes indeks lelaki warga tempatan berumur 39 tahun yang mempunyai sejarah perjalanan ke Tawau, Sabah pada 17 hingga 21 September.

“Kes bergejala batuk dan sakit otot bermula pada 24 September dan mendapatkan rawatan di sebuah pusat perubatan di Sungai Petani, Kedah.

“Saringan kes indeks dikesan positif pada 28 September dan susulan itu, saringan kontak rapat telah dijalankan dan lapan lagi kes positif Covid-19 termasuk tiga warga tempatan bagi kluster itu dikenal pasti,” katanya.

Beliau berkata kes-kes ini telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah dan Hospital Langkawi untuk rawatan.

Dr Noor Hisham berkata punca jangkitan bagi kluster Joo Hwa, kluster Selasih dan kluster Bah Ketil masih dalam siasatan.

Dalam pada itu, beliau berkata terdapat tujuh kluster lain yang merekodkan pertambahan kes iaitu kluster Laut, kluster Benteng LD, kluster Bakau, kluster Sakong dan kluster Bangau-Bangau di Sabah serta kluster Bakawali di Johor dan kluster Tembok di Kedah.

– BERNAMA


Pengarang :