Gimik pelancaran Program inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 21 Julai 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
EXCO SELANGOR

EXCO: Hampir 2,000 belia layak dapat inisiatif RiDE

SHAH ALAM, 12 OKT: Seramai 1,980 belia miskin bandar layak menyertai Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) yang dilancarkan pada 21 Julai lalu.

EXCO Pembangunan Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman berkata program yang menyasar 3,000 peserta setakat ini menerima 20,000 permohonan.

“Banyak permohonan yang gagal kerana peserta tidak menepati syarat umur selain kurang berminat untuk menyertai latihan e-panggilan,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata kesemua peserta terpilih akan dijemput menyertai majlis pelepasan inisiatif itu oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, dijangka akhir Oktober.

Sebelum ini, Mohd Khairuddin yakin mampu mengumpul 3,000 peserta RiDE sehingga 31 Oktober susulan sambutan menggalakkan daripada belia yang mahu menjana pendapatan.

Individu yang layak bakal mendapat subsidi lesen motosikal B2 berjumlah RM350, mengikuti kursus e-panggilan (RM200) dan menikmati caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (RM70 setahun).

Antara syarat ditetapkan ialah pemohon perlu mendapat pengesahan pemastautin melebihi 10 tahun di Selangor melalui pejabat wakil rakyat kawasan masing-masing dan menghantar sendiri borang ke pejabat Majlis Sukan Negeri.

Syarat lain, pemohon mesti berumur 17 hingga 30 tahun, mempunyai pendapatan bawah RM2,000 bagi yang bekerja serta memperoleh lesen motosikal B2 bermula Januari tahun ini.

Permohonan yang dibuka mulai 1 Ogos boleh dibuat melalui http://msnselangor.gov.my.


Pengarang :