Selangorkini
EXCO Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

EXCO: Kenal pasti tanah berpotensi sebagai lokasi pertanian

SHAH ALAM, 25 OKT: Kerajaan Negeri mengenal pasti tanah berpotensi untuk dimajukan sebagai lokasi pertanian memandangkan Program Keselamatan Bekalan Makanan akan dilakukan lebih agresif.

EXCO pemodenan pertanian dan industri asas tani berkata ia membabitkan tanah milik Kerajaan Negeri, anak syarikat Kerajaan Negeri, kawasan lapang, rizab jalan, rizab sungai, rentis Tenaga Nasional Berhad dan tanah terbiar milik individu.

“Sehingga kini, kami berjaya mendapatkan maklumat tanah-tanah di bawah Kerajaan Negeri dan anak-anak syarikat dengan jumlah keluasan lebih kurang 8,127 ekar iaitu 3,843 ekar milik kerajaan dan 4,284 ekar milik anak syarikat,” kata Ir Izham Hashim kepada SelangorKini.

Beliau berkata tanah milik Kerajaan Negeri akan diwartakan sebagai tanah pertanian sementara tanah anak syarikat yang tidak terlibat dengan sektor pertanian tetapi tidak dibangunkan dalam tempoh 10 tahun akan dimajukan sebagai kawasan pertanian makanan.

“Bagi tanah milik kerajaan sebagai contoh, Projek Tanaman Nanas MD2 di Sungai Panjang, Sabak Bernam dengan keluasan 60 ekar; Projek Tanaman Roselle dan lain-lain tanaman makanan di Sungai Air Tawar, Sabak Bernam membabitkan 120 ekar dan Projek Akuakultur Udang Harimau di Sungai Nibong, Sabak Bernam iaitu 70 ekar.”

Izham menjelaskan kebanyakan tanah berpotensi terletak di Sabak Bernam, Hulu Selangor, Hulu Langat dan Kuala Langat.

“Manakala daerah lain pula mempunyai keluasan yang agak kecil tetapi masih boleh dilaksanakan projek pertanian berhasil serta bernilai tinggi,” katanya.


Pengarang :