Petugas Kesihatan Selcare memasukkan sampel ujian individu pulang dari Sabah ke dalam beg saringan Covid-19 di Klinik Selcare, Shah Alam pada 4 Oktober 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO: Putrajaya wajar contohi Selangor buat saringan Covid-19 percuma

SHAH ALAM, 11 OKT: Kerajaan Persekutuan wajar mencontohi inisiatif saringan Covid-19 secara percuma yang dilaksanakan Kerajaan Selangor bagi menjejak jangkitan pada peringkat awal.

EXCO Kesejahteraan Bandar Rodziah Ismail berkata saranan itu susulan jangkitan virus ketika ini pada tahap membimbangkan dengan kes harian mencecah lebih 600 individu.

“Kedah dan Sabah mencatatkan kes harian yang sangat kritikal iaitu pada kadar tiga angka berbanding negeri lain. Perkara ini perlu dipandang secara serius.

“Sudah tiba masanya program saringan Covid-19 secara besar-besaran dilaksanakan oleh pihak kerajaan,” tulisnya di Facebook.

Rodziah berkata meskipun saringan dijalankan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2 sejak 27 September, namun ia tidak meliputi sejarah perjalanan individu yang tiba lebih awal dari tarikh tersebut.

Beliau berkata situasi itu membimbangkan berikutan berlaku pengesanan kes daripada mereka tidak bergejala disusuli penambahan kluster terbaharu ketika ini.

“Ia menggambarkan bahawa jangkitan Covid-19 berada pada kadar amat serius dan perlu ditangani secara efektif,” kata Ahli Dewan Negeri Batu Tiga.

Kerajaan Negeri melakukan saringan bersasar secara percuma kepada rakyat Selangor di 16 klinik Selcare bermula 4 Oktober lalu.

Setakat semalam, seramai 732 individu yang pulang dari Sabah antara 20 hingga 26 September menjalani saringan dengan lima daripadanya dikesan positif Covid-19.


Pengarang :